Larian itu dianjurkan sempena sambutan Hari Bumi yang diraikan di seluruh dunia pada 22 April setiap tahun.

Di peringkat dunia, larian tersebut telah dimulakan sejak tahun 2007 bermula di Taiwan diikuti negara-negara lain seperti Filipina, Singapura dan Hongkong.

Di Malaysia, ia berlangsung di Gamuda Walk, Kota Kemuning, Shah Alam pada 22 April lalu.

Pada tahun ini, tema sambutan Hari Bumi ialah Bebas Sisa Plastik yang menyasarkan pengurangan penggunaan plastik.

Ia merupakan satu-satunya larian tiada penggunaan cawan mahupun botol air plastik. Para peserta hanya menggunakan tangki dan pam air kitar semula yang disediakan di stesen-stesen air yang telah ditetapkan.

Justeru, peserta-peserta diberi pilihan untuk membawa bekas minuman sendiri atau menggunakan botol berbentuk beg yang telah disediakan penganjur untuk mengisi air.

Naib Presiden Kanan merangkap Ketua Kumpulan FOX Networksber Wilayah Malaysia dan Singapura, Vineet Puri berkata, larian itu menggabungkan minat orang ramai dalam aspek kecergasan dan kesihatan dengan sokongan terhadap gaya hidup sihat dan bermanfaat.

“Orang ramai boleh mengadaptasi apa yang dipelajari daripada acara ini dalam kehidupan dengan mengurangkan penggunaan plastik sekali gus membentuk tabiat bebas sisa buangan.

“Kami berharap larian ini akan menjadi pemangkin bagi rakyat Malaysia untuk memulakan gaya hidup lestari,” katanya menerusi satu kenyataan.

Larian tersebut turut mendapat kerjasama Unifi TV, FoxSports, Stadium Astro dan Nivea Men.

Satu pameran mengenai sebuah rumah contoh bebas sisa buangan turut diadakan.

Pameran itu juga mengetengahkan langkah-langkah kecil yang boleh dilakukan seseorang dalam mengurangkan sisa buangan dari dapur, bilik mandi mahupun kehidupan seharian.

Hanya dengan menggunakan botol keluli tahan karat untuk menyimpan air, meminum air tanpa penyedut dan beg kitar semula untuk membeli-belah, sesebuah rumah dapat mengurangkan penggunaan plastik.

“Kami cukup gembira melihat sokongan daripada rakyat Malaysia. Sungguhpun ini merupakan kali pertama penganjurannya, kami berjaya mencapai jumlah peserta yang disasarkan dalam tempoh beberapa minggu sahaja.

“Ini menunjukkan rakyat Malaysia sudah cukup bersedia untuk mengambil langkah seterusnya dalam mewujudkan persekitaran yang lebih hijau,” tambah Puri.