Hidangan kari kepala ikan memang enak lebih-lebih lagi jika dimasak menggunakan ikan segar.

Juadah istimewa itu boleh dikatakan satu hidangan signature khusus bagi restoran nasi kandar.

Antara yang menjadi pilihan warga kota sudah tentu di Restoran Kampung Pandan Kari Kepala Ikan.

Berikutan sambutan menggalakkan dan demi memenuhi kehendak pelanggan, restoran tersebut membuka cawangan keduanya di Jalan Yap Kwan Seng, Kuala Lumpur.

Menurut pengurusnya, Riyazullah Abdul Majid, Restoran Kampung Pandan Kari Kepala Ikan telah beroperasi sejak 42 tahun dahulu dan sudah diwarisi generasi kedua.

Katanya, perkara yang membuatkan restoran itu lebih istimewa ialah ia masih mengekalkan ramuan sama yang digunakan sejak 42 tahun dahulu.

“Dengan resipi yang diwarisi sejak turun-temurun dan penggunaan rempah ratus tersendiri diimport khusus dari India, sudah semestinya sajian ini menjadi keistimewaan kami di sini.

“Walaupun tukang masaknya berbeza, rasanya tidak berubah memandangkan kami telah menetapkan acuan yang sama bagi mengekalkan rasa dan memudahkan urusan memasak,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Restoran Kampung Pandan Kari Kepala Ikan cawangan kedua itu dikatakan boleh memuatkan kira-kira 260 hingga 300 pelanggan pada satu-satu masa.

Bagi menambah selera dan pilihan pelanggan, terdapat pelbagai jenis lauk istimewa lain turut dijual antaranya kari kambing, ayam madu, daging masak hitam, udang dan ketam masala, masakan telur ikan serta sotong.

Salmon

Tambah Riyazullah, bagi memastikan kesegaran lauk yang dihidangkan, pihaknya akan memeriksa bahan-bahan yang dihantar oleh pembekal pada setiap pagi.

Ujarnya, bagi penggemar kari kepala ikan, restoran tersebut menawarkan lima jenis ikan iaitu merah, jenahak, kerapu, kurau dan terbaharu ialah salmon.

“Setiap hari sebanyak 120 kepala ikan dimasak dan setiap hidangan tersebut ditawarkan pada harga bermula RM80 sehingga RM150 mengikut saiz.

“Kami sentiasa memastikan harga yang dikenakan adalah berbaloi dengan apa yang ditawarkan kepada pelanggan,” ujarnya.

Restoran terbabit menyediakan dua ruang makan berbeza. Bagi pengunjung yang gemar menikmati angin luar, mereka boleh memilih untuk menjamu selera di tempat berbumbung atau yang inginkan ruang privasi, boleh memilih tempat berhawa dingin di bahagian tengah restoran.

Selain daripada perkhidmatan restoran, Restoran Kampung Pandan Kari Kepala Ikan turut menawarkan perkhidmatan katering dan penghantaran tempahan.

Menurut Riyazullah, buat masa sekarang restorannya itu hanya beroperasi dari pukul 7 pagi sehingga 12 malam memandangkan baru sahaja dibuka pada 10 Disember lalu.

Katanya, pihaknya sememangnya mempunyai perancangan untuk menjadikan waktu operasi selama 24 jam sehari tetapi mungkin bermula pada bulan puasa tahun hadapan.

“Bagi memastikan suasana dan masakan warisan ini kekal terpelihara, restoran ini hanya menawarkan makanan yang memfokuskan pada masakan mamak sahaja.

“Sesetengah restoran mamak ada menawarkan masakan Barat dan tempatan tetapi tidak di restoran ini kerana kami mahu memastikan jenama restoran ini dikenali sebagai lokasi mendapatkan makanan tradisi mamak,” jelasnya.