Salah satu sajian yang menjadi pilihan umat Islam di negara ini sewaktu bulan puasa ialah nasi Arab.

Kekangan masa dan kesukaran penyediaannya membuatkan ramai memilih untuk membeli nasi Arab di bazar atau restoran berbanding memasaknya di rumah.

Menyedari hakikat itu, Al-Taj Food Marketing & Services Sdn. Bhd. (Al-Taj) memilih untuk mengetengahkan produk pes nasi Arab.

Pemiliknya, Tajul Ariffin Abdullah berkata, pihaknya sedar ramai suri rumah yang mengalami masalah untuk menyediakan makanan Asia Barat itu di rumah.

Jelasnya, ia berlaku disebabkan kesukaran untuk mendapatkan rempah-ratus dan beras terbaik yang diperlukan bagi penyediaannya.

“Kami sedar, ramai suri rumah yang sibuk dengan aktiviti harian mereka. Ini menyebabkan masa berada di dapur menjadi terbatas.

“Menerusi pes ini, mereka boleh menyediakan nasi Arab yang lazat dengan hanya meletakkan air mengikut sukatan yang telah ditetapkan,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! di kediamannya di Bangi, Selangor baru-baru ini.

Al-Taj merupakan sebuah syarikat milik penuh bumiputera yang beroperasi sejak tahun 2017 di Kawasan Perindustrian Melaka Halal Hub, Serkam, Melaka.

Buat masa ini, Al-Taj mengeluarkan dua jenis pes nasi Arab iaitu mendhi dan kabsah yang dijual pada harga serendah RM12 bagi setiap pek.

Tiga pilihan

Syarikat berkenaan turut mengeluarkan resipi rempah perapan ayam, daging lembu dan kambing untuk dijamah bersama nasi Arab.

Jelasnya, produk berkenaan datang dalam tiga pilihan iaitu rempah perapan kabsah, rempah perapan mendhi dan rempah perapan ekstra pedas.

“Rempah perapan ini dihasilkan daripada bahan-bahan asli. Melalui perapan ini, kerja-kerja penyediaan ayam dan daging untuk nasi Arab menjadi lebih mudah,” terangnya.

Ketiga-tiga rempah perapan berkenaan dijual pada harga serendah RM6 bagi pek 20 gram.

Menurut Tajul Ariffin, produk pes nasi Arab dan rempah perapan keluaran syarikatnya dihasilkan berdasarkan resipi turun-temurun oleh keluarganya.

Ceritanya, idea menghasilkan produk berkenaan tercetus selepas ahli keluarga dan rakan-rakan memuji keenakan rasa nasi Arab yang disediakannya pada satu majlis keramaian.

“Niat saya menghasilkan produk ini adalah untuk berkongsi keenakan rasa resipi nasi Arab keluarga saya dengan orang lain,” katanya yang turut memasang impian membuka restoran nasi Arab suatu hari nanti.

Orang ramai boleh mendapatkan pes nasi Arab dan rempah perapan di kedai runcit terpilih seluruh negara atau secara atas talian menerusi Facebook, Nasi-Arab-Al-Taj.