Fungsinya kini tidak lagi terbatas sebagai simbolik cinta sang Uda kepada si Dara sahaja tetapi ia turut mendapat permintaan meluas bagi menyempurnakan gubahan hadiah dan memperincikan dekorasi majlis seperti hari lahir, ijab kabul atau ulang tahun perkahwinan.

Menyedari potensi perniagaan menjual bunga bagi menampung permintaan daripada individu persendirian dan badan korporat, kedai bunga yang menggunakan medium secara online, Flores melancarkan kedai bunga maya mereka secara rasminya pada 20 Januari lalu.

Menariknya, gubahan bunga Flores tidak dipersembahkan dalam jambangan tipikal, sebaliknya disusun indah dalam kotak istimewa.

“Kami berasakan sekarang merupakan masa terbaik untuk melancarkan Flores secara rasmi walaupun ia beroperasi sejak Oktober 2016.

“Untuk itu, kami telah mengambil beberapa pendekatan dengan mengguna pakai elemen bunga dan disesuaikan dengan keperluan harian individu.

“Flores juga telah bekerjasama dengan banyak nama-nama besar di Malaysia dalam pelbagai bidang dan menerapkan elemen bunga-bungaan dalam persembahan produk mereka,” ujar pengasasnya, Nadia Mohd. Nazri sewaktu ditemui Kosmo! di [email protected] Row, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pada acara gilang-gemilang itu, Flores memperkenalkan tiga inovasi terbaharu iaitu Flores Art, Flores X dan Flores App.

Flores Art merupakan medan kerjasama antara Flores dengan pereka fesyen dan pelukis terkenal tanah air iaitu Hatta Dolmat, Fritilldea dan Sharina Sharin. Mereka akan melakar ilustrasi menarik bermotif flora pada kotak bunga yang akan dijual secara berasingan.

Pakej eksklusif

Sementara itu, bagi Flores X, penggubah bunga Flores akan menghias pakej eksklusif menggabungkan bunga-bungaan segar dengan produk tempatan.

Antara jenama yang terlibat ialah Cakenis, Happi Kiddo, Owl by Nora Danish, Ferrarosa Beauty, Camelia, By Rozita Che Wan, Sheila Mohamed dan Jubahsouq. Kolaboratif itu sebagai tanda sokongan terhadap jenama dan usahawan produk tempatan.

Paling mengujakan ialah pengenalan aplikasi Flores App yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

Aplikasi itu julung-julung kali diperkenalkan agar pengguna dapat menempah bunga secara online, memilih jenis gubahan yang diingini dan memantau status penghantaran secara terus daripada telefon pintar.

Aplikasi itu juga membolehkan pengguna menghantar mesej video dan kad elektronik menggunakan suntingan serta stiker menarik.