Replika aiskrim yang menakjubkan itu telah berjaya disenaraikan ke dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sempena Hari Kanak-Kanak Sedunia.

Dengan bertemakan seni mesra alam, Paddle Pop telah membina rangka replika aiskrim tersebut dan kanak-kanak ini kemudiannya berusaha mengumpul batang-batang aiskrim menerusi beberapa siri permainan yang menyeronokkan.

Batang aiskrim berkenaan kemudiannya diwarnakan bagi menghasilkan replika aiskrim yang bertemakan pelangi.

Replika aiskrim terbesar yang mempunyai ketinggian 3.2 meter dan lebar 1.2 meter itu ditempatkan di Legoland, Iskandar Puteri.

Struktur aiskrim bertemakan pelangi itu dipilih kerana ia melambangkan Paddle Pop sebagai jenama aiskrim terkenal dalam kalangan kanak-kanak.

Pengarah Pemasaran Makanan dan Minuman, Unilever (Malaysia) Holdings Sdn. Bhd., Shiv Sahgal berkata, pihaknya teruja melihat kanak-kanak begitu bersungguh ketika membina replika aiskrim tersebut.

“Mereka kelihatan sangat gembira kerana dapat mengambil bahagian dalam aktiviti ini untuk mengitar dan mengguna semula barang-barang yang biasa ditemui daripada dibuang begitu sahaja.

Kegembiraan

“Hari Kanak-Kanak Sedunia mengingatkan kami untuk terus menyediakan peluang supaya kanak-kanak ini dapat bermain dan mencipta pengalaman yang bermanfaat.

“Pengalaman ini dapat membantu mereka memahami peranan yang boleh dimainkan oleh semua pihak dalam melindungi alam sekitar,” ujarnya menerusi kenyataan akhbar baru-baru ini.

Replika berkenaan dikekalkan di Legoland sebagai peringatan kepada kanak-kanak lain setiap kali mereka berkunjung ke taman tema itu.

Rekod berkenaan telah disampaikan oleh Pengurus Operasi, Penyelidikan dan Pemasaran MBOR, Edwin Yeoh Tiong Chin kepada Shiv.

Turut hadir ialah Pengarah Jualan dan Pemasaran Legoland Malaysia Resort, Thila Munusamy.

Sementara itu, Thila berkata, kolaborasi bersama Paddle Pop itu amat penting supaya dapat terus memberi kegembiraan kepada kanak-kanak.

“Sebagai pihak yang bertanggungjawab dalam menyediakan pembelajaran yang menyeronokkan, kami percaya bahawa setiap kanak-kanak berhak untuk bermain dan berkembang melalui aktiviti tersebut.

“Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia tahun ini amat bermakna kerana kami dapat berkongsi pengalaman memecah rekod dengan membina replika aiskrim terbesar menggunakan bahan kitar semula bersama-sama dengan kanak-kanak daripada rumah anak-anak yatim.

“Kegembiraan yang terpancar pada wajah mereka menjadi bukti bahawa kami telah berjaya mencipta satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan untuk mereka,” jelasnya.

Sepanjang berlangsungnya aktiviti Hari Kanak-Kanak Sedunia berkenaan, kesemua 246 kanak-kanak itu telah dibawa untuk merasai pengalaman yang mengujakan di taman tema Legoland.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai Paddle Pop, sila layari ke laman web www.paddlepop.com.my.