Bagaimanapun, ramai yang tidak menyedari bahawa masakan dari Thailand berbeza mengikut daerah-daerah.

Thailand mempunyai empat jenis masakan mengikut daerah iaitu Thailand Utara, Thailand Timur Laut, Thailand Tengah dan Thailand Selatan.

Di negara ini, rata-rata restoran Thailand menyajikan hidangan dari bahagian selatan yang banyak dipengaruhi cita rasa Melayu.

Daerah-daerah lain pula mendapat pengaruh masakan dari China dan negara jiran seperti Myanmar, Kemboja dan Loas kecuali Thailand Tengah yang masih mengekalkan keaslian masakan tradisi tempatan.

Menyedari hakikat itu, Restoran Mueang Kao Thai Cuisine, Damansara Jaya, Selangor memilih untuk mempopularkan hidangan Thailand Tengah kepada masyarakat negara ini.

Pengurus Komunikasi restoran berkenaan, Iman Rosul berkata, sajian dari Thailand Tengah berbeza sama sekali dengan sajian Thailand di negara ini.

Jelasnya, hidangan dari daerah berkenaan memiliki kehalusan teknik masakan dan ramuan daripada pengaruh empat bandar utama iaitu Ayutthaya, Sukhotai, Bangkok serta Kanchanaburi.

“Masakan Thailand Tengah terdiri makanan dan minuman yang disediakan dengan cara tersendiri sejak turun-temurun oleh penduduknya.

“Hidangannya kaya dengan rasa yang terhasil daripada bumbu asli dan lazimnya menggabungkan keseimbangan antara pedas, manis, masin dan masam,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! baru-baru ini.

Tambahnya, Restoran Mueang Kao Thai Cuisine menyajikan lebih 50 jenis hidangan Thailand Tengah yang popular.

Menu popular

Salah satu menu popular di restoran berkenaan ialah ikan puyu Australia (Jade Perch) kukus bersama cili dan limau nipis.

Juadah lain yang ditawarkan ialah miang kham iaitu kudapan tradisi dengan rasa pedas-pedas manis dimakan bersama daun kaduk, tom yam putih dan kangkung goreng Thai bersama sos istimewa.

“Kami menyajikan tom yam putih istimewa dengan gabungan bahan segar seperti udang, sotong dan sayuran seperti cili api, tomato, cendawan serta daun ketumbar.

“Semua hidangan ini boleh dinikmati bersama nasi putih atau sebagai kudapan yang boleh dinikmati begitu sahaja,” jelas Iman.

Restoran Mueang Kao Thai Cuisine turut menawarkan otak-otak berkuah yang disediakan mengikut resipi asal.

Iman memberitahu, otak-otak berkuah disediakan bersama makanan laut segar lain seperti udang dan sotong yang dimasak bersama kuah santan dan cili.

Terangnya, ia memiliki rasa menyerupai otak-otak di negara ini, namun kuahnya yang lemak-lemak pedas dan pekat memberikan rasa berbeza.

“Otak-otak versi Thailand ini dimasak dengan cara kukus bersama bahan rempah sebelum dihidangkan dalam sebiji kelapa muda.

“Selain sebagai santapan ringan untuk minum petang, ia juga sesuai sebagai hidangan pembuka selera,” katanya sambil memaklumkan restoran berkenaan boleh memuatkan antara 80 hingga 100 orang pada satu-satu masa.

Bagi pencuci mulut pula, hidangan yang boleh dipilih ialah pulut mangga dan ais kelapa serta tum tim krob (rubi merah).

Menariknya, semua hidangan disediakan sendiri oleh Pengurus Operasi dan cef restoran, Esther Yap.