Baja asli yang kadangkala dikenali sebagai baja organik mengandungi bahan-bahan organik atau berasal daripada organisma hidup. Baja kimia pula dikenali sebagai baja tidak organik atau baja buatan yang mengandungi bahan-bahan kimia tak organik atau galian-galian.

Bagi menilai kualiti baja yang dibekalkan kepada petani serta pengguna lain, Jabatan Pertanian menyediakan khidmat analisis sampel baja. Hampir 80 peratus sampel yang diterima oleh makmal baja Jabatan Pertanian adalah sampel baja sebatian padi.

Sampel-sampel yang diterima adalah sebahagian besar daripada program pemantauan kualiti mutu baja di bawah subsidi kerajaan di seluruh negeri di Semenanjung dan syarikat-syarikat luar.

Tujuan utama analisis sampel baja dilakukan dalam makmal adalah untuk memeriksa unsur nutrien seperti Nitrogen (N), Phosphorus (P) dan Potasium (K), mengawal kualiti mutu baja dan memastikan baja memenuhi spesifikasi yang ditetapkan atau dinyatakan.

Borang permohonan boleh dimuat turun secara percuma melalui Portal Rasmi Jabatan Pertanian atau perlu hadir ke makmal berkenaan.

Kaedah-kaedah analisis yang digunakan dalam menentukan kualiti baja sebatian padi adalah yang terkini dan mematuhi piawaian yang dikeluarkan oleh Jabatan Standard Malaysia.

Makmal baja Jabatan Pertanian juga berdaftar dengan Persatuan Makmal-Makmal Pertanian Malaysia (AgLAM) dan menyertai Proficiency Testing Programme (Ujian Kecekapan) sebanyak tiga kali setahun.

Proses analisis sampel

Program tersebut sangat penting bagi memastikan ketepatan keputusan analisis yang dikeluarkan makmal, memastikan kaedah analitikal standard diguna pakai dalam kalangan makmal-makmal yang menyertainya sebagai platform untuk bertemu dan bertukar pandangan mengenai perkembangan terkini dalam teknik analitikal untuk analisis pertanian.

Proses analisis sampel adalah bermula daripada pendaftaran, pengisaran, menimbang, pencernaan sampel menggunakan asid, penapisan dan seterusnya bacaan kandungan sampel menggunakan peralatan analitikal yang bersesuaian.

Dalam setiap analisis kimia keperluan kawalan kualiti adalah sangat dititikberatkan bagi memastikan keputusan yang dikeluarkan adalah tepat dan kebolehkesanan dapat dilihat dengan jelas.

Bagi analisis sampel baja, pendekatan semakan kualiti yang dibuat adalah dengan membaca larutan standard dan menyediakan satu sampel rujukan yang menggunakan Standard Reference Material (SRM) yang diperakui kandungan nutrien serta mempunyai satu sijil yang sah.

Hal ini bertujuan untuk memastikan pihak makmal dapat mengesan kebolehan peralatan membaca kandungan nutrien adalah tepat ataupun dalam julat yang dibenarkan.

Secara keseluruhannya, analisis baja padi adalah salah satu medium penting dalam membantu pesawah ataupun orang awam yang terlibat dalam penanaman padi bagi memastikan kesemua baja padi yang digunakan adalah berkualiti.

Penggunaan baja yang berkualiti iaitu mempunyai kandungan nutrien yang cukup dapat membantu tumbesaran pokok padi untuk berbuah secara maksimum, seterusnya meningkatkan pengeluaran beras di negara kita.

* Bagi mendapatkan maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Jabatan Pertanian Malaysia di talian 03-8870 3042/3050 dan faksimile 
03-8888 5069 atau melayari portal Jabatan Pertanian Malaysia di 
www.doa.gov.my