Justeru, semakin ramai yang menyedari akan kepentingan pengambilan bahan makanan yang selamat dan berkualiti.

Aspek keselamatan ini merangkumi bebas daripada bahan kimia seperti racun, logam berat dan mikroorganisma yang berbahaya.

Jabatan Pertanian memainkan peranan penting dalam isu keselamatan makanan dan jaminan bekalan makanan di negara ini.

Jabatan Pertanian juga telah melaksanakan pelbagai program ke arah mewujudkan industri pertanian yang berdaya saing, pengeluaran produk berkualiti, selamat dan mesra alam serta berorientasi eksport.

Pensijilan myGAP dan myOrganic salah satu program yang diwujudkan bagi memberi pengiktirafan kepada pengeluar hasil tanaman yang mengamalkan Amalan Pertanian Baik (APB) dan perladangan organik dalam menghasilkan produk-produk pertanian yang berkualiti serta selamat dimakan.

Salah satu kriteria penting yang perlu dipatuhi bagi kelayakan pensijilan di bawah program myGAP dan myOrganic ialah lulus analisis hasil bagi residu racun makhluk perosak, logam berat serta mikrobia.

Seksyen Khidmat Analisis Jabatan Pertanian, Makmal Daun dan Hasil Pertanian dipertanggungjawabkan untuk menganalisis logam berat seperti arsenik, kadmium, plumbum serta merkuri bagi memastikan kandungan elemen ini berada di bawah paras yang selamat terhadap hasil yang dikeluarkan pengusaha pertanian.

Paras maksimum logam berat yang dibenarkan dalam hasil pertanian bagi elemen arsenik (1000ppb), kadmium (1000ppb), plumbum (2000ppb) dan merkuri (50ppb).

Bagi tahun 2017, sebanyak 973 sampel telah diterima makmal bagi pensijilan myGAP dan myOrganic. Kesemuanya mendapat kelulusan bagi analisis kandungan logam berat.

Analisis logam berat dalam hasil pertanian amat penting kerana ia berbahaya kepada pengguna.

Selain itu, menerusi analisis dapat mengawal paras kandungan logam berat bagi memastikan tahap keselamatan dan kualiti hasil pertanian yang dikeluarkan untuk pengguna.

Kerosakan

Kemudaratan unsur logam berat akan mengakibatkan ketoksikan yang kronik sehingga mengakibatkan kerosakan mental, kekurangan tenaga, sel-sel darah, buah pinggang, hati dan beberapa organ penting yang lain.

Pendedahan kepada logam berat dalam jangka masa yang panjang juga akan mengakibatkan saraf-saraf di dalam tubuh manusia gagal berfungsi serta menyebabkan penyakit alzheimer dan Parkinson.

Melalui APB dalam pelaksanaan pensijilan myGAP dan myOrganic ini mampu mengawal kandungan logam berat bagi menghasilkan hasil pertanian yang berkualiti, selamat, sesuai dimakan dan memenuhi ciri-ciri keselamatan piawaian antarabangsa.