Dalam kes pertama, kerana malu dituduh mencuri telefon bimbit seorang guru di sekolah, anak tadi mengambil keputusan untuk membunuh diri.

Walaupun percubaan itu tidak berakhir dengan kematian pada waktu tersebut, mangsa meninggal dunia setelah terlantar di hospital selama seminggu.

Dalam kisah yang lain, seorang anak kecil berusia sembilan tahun didera sampai mati oleh bapa kandungnya sendiri.

Mangsa dikatakan pernah dipukul dengan tali pinggang, malah perutnya dipijak sebagai satu proses denda oleh bapanya.

Apa yang kita pelajari daripada kedua-dua kes ini? Sebenarnya, apa yang dilakukan kepada mangsa mungkin adalah sesuatu yang ‘wajar’ dalam konteksnya.

Mendidik atau menghukum anak-anak bagi tujuan mendisiplinkan mereka.

Ia mungkin dilakukan sebagai satu proses untuk menjadikan mereka seorang manusia yang mulia.

Bagaimanapun, adakalanya kita mungkin terlepas pandang. Secara analoginya, anak-anak ibarat ‘burung di dalam sangkar’.

Mereka sebenarnya adalah subjek yang berada di bawah jagaan tuannya yang perlu diberi makan, tidak dikasari dan diberikan kasih sayang sepenuhnya.

Mereka juga sebenarnya ‘terkurung’ dan tidak mampu untuk ke mana-mana. Sekiranya diperlakukan sesuatu yang buruk, tidak banyak pilihan yang mereka miliki.

Hal ini kerana kehidupan mereka hanyalah berkisar kepada kepercayaan orang dewasa, khususnya yang menjaga mereka.

Terganggu emosi

Sebab itulah, walaupun tujuan menghukum anak-anak itu pada asalnya adalah sesuatu yang baik, sebagai orang dewasa kita juga wajar melihat konteksnya.

Orang dewasa tidak patut meletakkan anak-anak sebagai sama dengan mereka, sebaliknya kita harus melihat diri kita daripada perspektif anak-anak.

Anak-anak yang dimarahi dengan sedikit sahaja pun sudah terganggu emosi mereka, apatah jika mereka dihukum.

Hukuman yang diberikan juga mestilah bersesuaian dengan sifat anak-anak, sekalipun kanak-kanak tadi melakukan kesalahan yang besar.

Pertama, kanak-kanak tidak mempunyai pengetahuan mengenai ‘besar’ atau ‘kecil’ sifat kesalahan tadi.

Misalnya, kanak-kanak yang mencuri jam tangan berjenama mewah sebenarnya tidaklah mencuri atas sifat ‘mewah’ tadi.

Sebaliknya, mereka hanya ingin memiliki barang tersebut.

Ia berbeza dengan orang dewasa yang mempunyai pengetahuan terhadap ‘nilai’ barangan yang dicuri itu.

Keduanya, kanak-kanak pada asalnya melakukan kesilapan kerana mereka tidak mempunyai perspektif jelas mengenai sebab dan akibat hasil perbuatan itu.

Kebanyakan anak-anak hanya melihat sesuatu berdasarkan kepada apa yang ‘dilihat sekarang’ dan bukannya apa yang bakal berlaku kemudiannya.

Sebab itulah, dalam konteks pendidikan misalnya, guru-guru sentiasa mengingatkan agar pelajar belajar bersungguh-sungguh kerana ia akan menentukan kejayaan pada masa hadapan.

Secara umumnya, setiap anak-anak berada dalam dunia kelekaan. Mereka tidak begitu faham dengan maksud kejayaan pada ‘masa hadapan’.

Mereka belajar hanya kerana ia menjadi tanggungjawab yang telah ditentukan ibu bapanya.

Masa hadapan dalam konteks pemikiran mereka mungkin hanya untuk lulus peperiksaan dan bukanlah merujuk masa hadapan yang lebih jauh lagi.

Ini kerana dalam kehidupan anak-anak, kehidupan ini tidaklah sekeras seperti yang selalu diceritakan orang dewasa.

Mereka tidak pernah tahu betapa sulitnya mendapatkan wang untuk menyara kehidupan atau betapa tingginya kos hidup yang sering menjadi rungutan orang dewasa.

Ibarat burung di dalam sangkar, mereka akan ‘makan’ apa yang diberikan oleh tuannya.

Sebab itulah anak-anak jarang merungut rasa masakan ibunya atau saiz kereta orang tua mereka.

Bagi mereka, apa yang dilalui oleh orang dewasa yang membesarkan mereka, begitu jugalah kehidupan mereka.

Sebab itu, sebagai ibu bapa atau guru, sesekali kita perlu melihat anak-anak daripada kaca mata anak-anak sendiri.

Nostalgia

Tidak wajar, manusia dewasa yang tentu sahaja berpengalaman dengan banyak perkara memaksa anak-anak untuk melihat sesuatu dengan menggunakan perspektif orang dewasa.

Sebagaimana kita semua pernah menjadi anak-anak kecil suatu masa dahulu, betapa indahnya jika kita semua bernostalgia untuk menjadi seperti mereka.

Betapa indahnya saat bermain sehingga melupakan saat senja yang tiba.

Sesekali kita juga pernah nakal dan melakukan sesuatu yang dilarang oleh ibu bapa.

Pada akhirnya, kita juga menjadi orang dewasa seperti orang lain dengan cara masing-masing.

Jika kita sendiri pernah melalui proses yang sama, mengapa pula kita tidak mampu mengawal diri untuk memahami bahawa kita dan anak-anak adalah dua watak berbeza, hidup bersama untuk menjadi manusia yang berguna.

Jagalah anak-anak kita sebaiknya. Anggaplah apa sahaja kesalahan yang mereka lakukan adalah sama dengan apa yang pernah kita lakukan, cuma dalam bentuk yang berbeza.