Ini kerana, jenama yang diasaskan di Switzerland pada tahun 1958 itu lebih dikenali sebagai pengeluar kelengkapan sukan berbasikal selain acara ski.

Bagaimanapun, Scott sebenarnya turut mengeluarkan pelbagai kelengkapan sukan meliputi pakaian, kasut dan peralatan khusus untuk acara larian.

Di negara ini, kasut sukan jenama itu dibawa masuk oleh syarikat berasaskan online, Sportlicious Malaysia yang beroperasi di Pulau Pinang.

Pengarah Urusannya, KC Tan berkata, kasut sukan jenama Scott berpotensi untuk menjadi kasut pilihan ramai kerana kualiti pembuatannya yang berkelas premium dan dilengkapi dengan kira-kira 20 jenis teknologi dan ciri-ciri terkini.

Paling menarik, ia ditawarkan pada harga mampu dibeli, sekali gus dapat menarik minat atlet khususnya dalam acara larian denai.

“Larian denai memerlukan seseorang atlet menggunakan kasut yang sesuai kerana permukaan trek perlumbaan yang pelbagai dan berisiko untuk menyebabkan kecederaan,” katanya.

Mengulas lanjut, KC memberitahu, buat masa ini pihaknya membawa masuk empat model yang dicipta khas untuk larian denai iaitu Kinabalu RC, Kinabalu 2.0, Supertrac RC dan Supertrac Ultra RC.

Katanya, setiap model berkenaan direka menggunakan material yang berbeza pada bahagian atas, namun menggunakan material sama pada bahagian tapak iaitu getah lembut yang bersifat tahan lasak dan dicipta untuk semua permukaan trek larian.

Kelas premium

“Kesemua kasut Scott dibangunkan hasil kerjasama atlet antarabangsa profesional di bawah tajaan Scott dengan Universiti Teknikal Munich di Jerman bagi menghasilkan kasut kelas premium yang mampu menawarkan keseimbangan antara serapan impak ketika berlari dan cengkapan pada permukaan.

“Dengan moto utama iaitu Traction Matters, maka tidak hairanlah mengapa kasut jenama ini kerap menjadi pilihan atlet profesional termasuk mereka yang menyertai acara Sky Running yang merupakan perlumbaan larian denai pada altitut tinggi di kawasan pergunungan yang mempunyai ketinggian melebihi 4,000 meter,” ujarnya.

Jelasnya lagi, model Kinabalu RC dan Kinabalu 2.0 sangat sesuai untuk perlumbaan larian denai kategori sederhana dan mereka yang mementingkan kelajuan, manakala model Supertrac RC dicipta dengan bahagian tapak lebih tebal bagi menghasilkan cengkaman yang tinggi pada pelbagai jenis permukaan.

Model tersebut katanya, sesuai dipakai bagi laluan denai yang lebih mencabar khususnya bagi perlumbaan di kawasan hutan hujan tropika seperti di Malaysia yang sentiasa lembab dan basah.

“Bagi atlet yang gemar menyertai perlumbaan denai jarak jauh atau ultra dan mementingkan kasut dengan tahap serapan hentakan yang optimum, model Supertrac Ultra RC adalah pilihan yang tepat untuk mereka.

“Ini kerana, kasut berkenaan bukan sahaja menggunakan fabrik Schoeller Dynamic yang bersifat ringan dan kalis air pada bahagian atasnya, tetapi mempunyai tapak yang lebih tebal bagi mengurangkan risiko kecederaan kaki walaupun berlari pada jarak 100 kilometer atau lebih di pelbagai permukaan trek perlumbaan,” ujarnya.

Kasut sukan Scott ditawarkan pada harga antara RM499 hingga RM585 mengikut model dan boleh didapati menerusi pembelian secara online di www.sportliciousmalaysia.com.