Orang kata, menjadi seorang cikgu zaman sekarang tidak seronok seperti dahulu. Hari ini, terlalu banyak beban dan terlampau banyak tekanan yang perlu ditanggung.

Bagaimanapun, bagi penulis buku Cikgu Kelas Sebelah, Mohd. Fadli Mohamed Salleh, beliau mencari keseronokan sendiri agar semangat untuk mendidik anak bangsa tidak hilang dan cinta terhadap profesion terus membara.

Beliau memilih untuk memainkan watak guru yang merupakan seorang kawan kepada murid.

“Saya pada awalnya berkongsi pengalaman saya semasa mengajar di Sekolah Kebangsaan Mambang, Pekan, Pahang yang merupakan sekolah anak-anak Orang Asli di laman sosial Facebook.

“Bagaimanapun, selepas mendapat cadangan agar pengalaman tersebut dibukukan, maka lahirlah naskhah Cikgu Kelas Sebelah,” kata anak kelahiran Pasir Puteh, Kelantan itu.

Buku yang diterbitkan pada Disember 2016 itu merupakan himpunan anekdot 103 pengalaman bersama murid-muridnya di sekolah berkenaan sebelum berhijrah ke ibu negara.

“Ada kisah murid-murid itu yang lucu, menyentuh hati dan tidak ketinggalan memberi inspirasi kepada masyarakat.

“Justeru, buku berkenaan sesuai untuk dibaca oleh semua peringkat umur tidak kira murid darjah satu atau golongan dewasa,” ujar guru subjek Matematik yang kini berkhidmat di Sekolah Kebangsaan Gombak (1), Kuala Lumpur itu.

Ke mana tumpahnya kuah jika bukan ke nasi, perumpamaan demikian sesuai menggambarkan Fadli yang mewarisi minat untuk bergelar sebagai seorang pendidik daripada bapanya.

Anak keenam daripada sembilan adik-beradik yang kesemuanya bertugas sebagai guru itu berkata, karya sulung tersebut dihasilkan secara santai dan berdasarkan kisah benar.

Katanya, cerita-cerita yang dikongsikan adalah pendek-pendek sahaja dan paling panjang pun hanya melibatkan dua halaman muka surat.

Beliau memulakan penulisan buku berkenaan pada tahun 2016 dan berjaya disiapkan dalam tempoh enam bulan selepas mengumpul semula catatannya di laman Facebook.

Justeru, kebanyakan pembaca seronok untuk terus mengikuti pengalaman yang disampaikannya.

Pedagogi

Mengulas lanjut, graduan Maktab Perguruan Islam, Bangi itu memberitahu, Cikgu Kelas Sebelah yang tercalon untuk satu anugerah terkemuka pada 2017 telah dicetak lima kali dan sudah terjual lebih 13,000 naskhah.

“Rata-rata maklum balas yang diterima adalah bagus dan kebanyakan pembaca suka dengan penyampaian buku berkenaan.

“Sejak buku itu diterbitkan, ada beberapa pembaca yang membeli buku tersebut dalam kuantiti yang banyak.

“Ada pembaca yang membeli buku tersebut sebanyak empat hingga enam naskhah untuk dihadiahkan kepada guru-guru yang mengajar anak mereka semasa sambutan Hari Guru setiap tahun,” kongsi bapa kepada empat cahaya mata tersebut.

Mohd. Fadli yang sudah 13 tahun berkhidmat sebagai guru sangat berharap buku berkenaan memberi inspirasi kepada golongan guru terutama guru muda agar terus memperkasakan pendidikan negara.

“Terdapat banyak pedagogi yang boleh digunakan guru semasa mengajar.

“Justeru karya Cikgu Kelas Sebelah ini diharap dapat membantu menjadi panduan guru-guru dan memberi manfaat kepada semua pembaca,” ujarnya.

Buat masa ini, buku setebal 183 muka surat tersebut boleh didapati di semua kedai buku seluruh Malaysia dan mereka yang ingin mendapatkan tandatangan daripada Mohd. Fadli boleh membuat pembelian di laman Facebooknya.