Realistik dan unik untuk diterokai para penggemar seni. Ultraman diangkat menjadi subjek utama berlatar hasil bumi seperti ubi kayu, jering, petai, pucuk paku dan sagu.

Epik pertempuran di antara Ultraman dan hasil pertanian tradisional menjadi simbolik serangan Jepun di Tanah Melayu suatu ketika dahulu.

Pameran seni berjudul Japan Attack Malaya yang berlangsung di HOM Art Trans, Ampang Jaya, Selangor baru-baru ini menarik pencinta seni untuk meneroka mesej tersirat dan tersurat yang cuba disampaikan.

Pengkarya, Edroger Rosili, 33, berkata, kesemua karya yang dihasilkan adalah ilham daripada penjajahan Jepun dan minatnya terhadap sejarah serta budaya popular.

“Tentera Jepun ditonjolkan sebagai wira fiksyen popular mereka iaitu Ultraman manakala Tanah Melayu dipersonifikasikan sebagai hasil bumi tradisional yang berjuang mempertahankan negara daripada penjajahan.

“Karya-karya ini merungkai makna wira dan penjahat yang sebenar dalam konteks sejarah. Ia akan terlihat ketika peperangan apabila masing-masing berjuang untuk mencapai cita-cita mereka,” katanya ketika ditemui Kosmo! di HOM Art Trans baru-baru ini.

Watak hero

Edroger berkata, idea pemilihan tajuk Japan Attack Malaya diperoleh daripada dialog dalam filem Seniman Bujang Lapok (1961).

“Salah satu babak apabila watak Ramli menyatakan dia bersekolah sehingga darjah lima dan kemudiannya bersekolah di sekolah Inggeris. Apabila ditanya sebabnya, dia memberitahu tiga bulan masuk belajar, Jepun menyerang Tanah Melayu.

“Filem tersebut sememangnya sudah menjadi epik tidak kira tua mahupun muda. Justeru, berdasarkan adegan tersebut, saya gambarkannya dalam karya seni yang dihasilkan,” ujar anak jati Sarawak itu.

Dalam pada itu, Edroger berkata, Ultraman dalam setiap karyanya ditonjolkan dengan watak hero di tengah-tengah perjuangan dramatik menentang penduduk Tanah Melayu.

Menurut Edroger, latar belakang yang suram membawa pengunjung kembali ke adegan-adegan pertempuran yang biasanya dipaparkan dalam episod awal Ultraman.

“Karya-karya ini memberikan pengetahuan khususnya kepada generasi muda mengenai masa lalu yang diterjemahkan menjadi visual.

“Saya membentangkan peristiwa sejarah yang berlaku dengan menggabungkan fiksyen dan realiti dalam bentuk visual yang dramatik,” kata Finalis Bakat Muda Sezaman Balai Seni Visual Negara 2010 itu.

Menurut Edroger, ultraman dalam siri karya yang dihasilkan mewakili imej yang sangat berpengaruh terhadap hagemoni budaya.

“Populariti Ultraman jelas terbukti kerana mendapat sambutan antarabangsa sehingga ke hari ini. Jepun kini bukan sahaja dikenali dengan perkembangan ekonominya tetapi juga sebagai pengeluar budaya aktif yang memanfaatkan industri hiburan dan kebudayaan,” kata pemegang Ijazah Sarjana Muda Kepujian Seni Halus, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam itu.