Sebanyak tiga karya yang dipamerkan mengangkat tema yang berbeza-beza seperti sosial, impian dan kerjaya itu menarik para pengunjung yang lalu lalang di lokasi tersebut.

Ternyata, pameran Seni Antarabangsa Ke-12 yang dianjurkan oleh Ekspo Seni Malaysia (AEM) baru-baru ini menjadi medan buat pertama kali anak muda dari Indonesia itu mempamerkan karyanya di Malaysia.

Karya-karya yang dibawa oleh Naufal itu mudah difahami pengunjung walaupun baru pertama kali melihatnya.

Bekas graduan Universiti Goldsmith, London itu berkata, dalam karyanya beliau mempamerkan konsep lukisan yang penuh komedi dan warna-warni kehidupan masyarakat pada hari ini.

Antaranya judul yang dipamerkan ialah Saya Mempunyai Impian Besar, Pada Masa Kini dan The 10k Sport.

“Dunia sudah kompleks dengan segala permasalahannya lalu mengapa harus membuat karya seni yang rumit.

“Semua orang sudah penat bekerja dan dunia kini bergelut dengan pelbagai masalah seperti diri sendiri, keluarga dan negara.

“Jadi, saya fikir untuk membuat lukisan membolehkan orang yang melihatnya terhibur,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Galeri Art Porters pada pameran seni antarabangsa paling lama di Asia Tenggara itu.

Senyum lebar

Pada setiap lukisannya, objek digunakan adalah manusia yang tersenyum lebar dan menariknya subjek-subjek itu menampakkan gigi.

Pemuda berusia 25 tahun itu berkata, dia tidak menyangka lukisannya utamanya yang berjudul Pada Masa Kini menjadi tumpuan pengunjung.

“Setiap kali pengunjung melalui galeri kami, pasti ada sahaja yang akan berswafoto dengan lukisan ini.

“Lukisan ini menggambarkan tentang trend masa kini iaitu mengenai manusia yang kaya dengan gajet dan setiap kali perjumpaan dengan rakan-rakan atau keluarga mesti berswafoto untuk kenang-kenangan,” katanya yang menggunakan cat jenis akrilik untuk karyanya itu.

Anak ketiga daripada lima orang adik-beradik itu berkata, dia banyak melakukan penyelidikan menerusi pembacaan sebelum menghasilkan sesuatu karya.

“Saya suka membaca buku-buku falsafah dan alam semula jadi. Justeru, menerusi pembacaan saya memperoleh idea untuk mengolah karya dengan mengaitkan isu-isu terkini.

“Seni menjadi sebahagian daripada kehidupan saya yang telah bermula sejak zaman sekolah menengah lagi,” katanya.

Selepas itu, dia mengambil keputusan untuk menyambung pengajian pada peringkat Diploma Seni Halus di Kolej Seni Lasalle, Singapura.

Setelah tamat pelajaran, kariernya bermula sebagai seorang pelukis muda di Indonesia dan lukisannya telah dipamerkan di Indonesia, Singapura, Venesia hingga Lithuania dan Malaysia.

Naufal menjelaskan, dalam penghasilan karyanya apa yang paling penting adalah nilai estatika dan konsepnya.

“Jika terlalu mengetengahkan konsep kerana tidak semua pengunjung faham apabila melihatnya tetapi pada masa sama nilai estatika juga tidak boleh melampau.

“Jadi, cara saya adalah seimbangkan kedua-duanya dalam lukisan supaya orang yang melihatnya tidak mengalami tekanan untuk berfikir,” ujarnya.