Koleksi karya yang diperoleh menjadi paparan umum mengikut hala tuju kurator yang juga melibatkan para akademik, ahli sejarah dan kritik.

Dalam memantapkan dan menjaga sesebuah karyawan itu agar tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas, Balai Seni Negara menganjurkan satu pameran bertajuk Minta Perhatian.

Pameran tersebut mengetengahkan keunikan lebih 90 koleksi karya dalam tiga genre seni iaitu arca, instalasi dan media baharu.

Menurut kuratornya, Mohamad Majidi Amir, pameran yang berlangsung pada April lalu itu akan berakhir pada hujung tahun ini dan ia dibuat bersempena sambutan ulang tahun ke-60 tahun Balai Seni Negara.

“Penganjuran pameran ini bertujuan memberi peluang kepada masyarakat terutamanya peminat seni menghayati keindahan dan maksud di sebalik hasil karya seni yang dipamerkan.

“Keunikan karya-karya seni seperti arca di sini sangat luar biasa. Ia bukan sekadar objek tetapi mempunyai makna dan nilai estetiknya tersendiri,” katanya.

Tambahnya, pengunjung yang datang ke pameran tersebut berpeluang menghayati karya itu menerusi pandangan, sentuhan serta dirasai dengan pancaindera manusia.

Jelasnya lagi, seni arca merupakan genre seni pertama yang dipamerkan bermula 30 April lalu hingga 8 Julai ini, kemudian diikuti seni instalasi atau dikenali sebagai karya seni pemasangan pada 22 Julai hingga 14 Oktober dan akhir sekali media baharu pada 29 Oktober hingga 30 Januari 2019.

Keunikan

Tambah Majidi, hasil karya yang dipamerkan merupakan sebahagian daripada lebih 4,000 koleksi tetap Balai Seni Negara yang terpilih kerana mempunyai keunikan tersendiri.

“Menariknya, kesemua hasil karya seni arca pameran ini daripada pengkarya tempatan yang dikumpul dari zaman ke zaman dengan pembuatan pelbagai jenis material antaranya besi, kayu, simen dan logam.

“Malah, terdapat juga koleksi yang jarang ditemui menggunakan bahan buangan sebagai material,” ujarnya yang merupakan senior kurator di situ.

Dalam pada itu, Mohamad Majidi memaklumkan, pameran yang dianjurkan sebelum ini banyak menghasilkan karya seni yang hanya boleh dinikmati dengan satu arah pandangan.

Namun, pada kali ini, pihaknya mengetengahkan karya bersifat tiga dimensi yang boleh dilihat daripada pelbagai sudut iaitu 360 darjah.

“Justeru, ia membuka peluang dan pengalaman bermakna kepada pengunjung terutamanya peminat seni kerana koleksi-koleksi terpilih ini jarang dipertontonkan di khalayak ramai.

Sementara itu, Mohamad Majidi berkata, menerusi pameran itu, pengunjung dapat bermuhasabah diri ketika menghayati karya seni kerana ia juga seperti filem yang merupakan refleksi kehidupan seseorang.