Sebanyak 14 karya yang mengangkat tema alam semula jadi dan manusia itu tergantung indah, sekali gus menarik para pengunjung yang lalu lalang di lokasi tersebut.

Ternyata, pameran Di Antara Daun-Daun anjuran Artemis Art yang berlangsung di Publika Dutamas, Kuala Lumpur bukan sekadar pameran seni biasa yang lazim dilihat sebelum ini.

Sebaliknya, ia sarat dengan makna tersirat dan falsafah yang sukar diterjemahkan. Malah, sebahagian besar karya itu cukup unik serta menyentuh jiwa.

Hubungan simbiosis antara manusia dan alam semula jadi memberi inspirasi kepada Haris untuk menterjemahkan ia ke dalam karya yang dihasilkannya.

Haris yang berasal dari Kedah berkata, minat yang mendalam terhadap alam semula jadi menyebabkan dia begitu aktif mengangkat mesej pelbagai isu yang berlaku.

“Alam semula jadi hanya sebagai metafora, sebaliknya saya ingin menterjemahkan falsafah diri dan segala isu yang berlaku dalam masyarakat.

“Jika dilihat daripada karya-karya yang dihasilkan, semuanya menonjolkan subjek alam semula jadi tetapi diselitkan dengan unsur-unsur manusia di dalamnya,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Publika Dutamas, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut Haris, karya utama pameran tersebut berjudul Pray III mengisahkan tentang hidup dan mati seseorang.

“Bila seseorang itu dikebumikan, tulang-belulang akan bercerai daripada tubuh dan kembali kepada tanah. Begitu eratnya hubungan antara tanah dan manusia. Keadaan itu tidak akan pernah terhenti.

“Saya melihat pemergian seseorang manusia itu dari sudut positif kerana ajal boleh menjemput pada bila-bila masa,” katanya.

Penyelidikan

Haris menambah, dia banyak melakukan penyelidikan menerusi pembacaan sebelum menghasilkan sesuatu karya.

“Saya suka membaca buku-buku falsafah dan alam semula jadi. Justeru, menerusi pembacaan, saya memperoleh idea untuk mengolah karya dengan mengaitkan isu-isu terkini,” katanya lagi.

Seni menjadi sebahagian daripada kehidupan Haris yang telah bermula sejak zaman sekolah menengah lagi.

“Saya amat meminati seni dan telah mengembangkan bakat yang ada sejak di sekolah menengah. Ibu saya juga merupakan seorang guru seni,” katanya.

Dia mengambil keputusan untuk menyambung pengajian di peringkat diploma dalam bidang ilustrasi di The One Academy.

Setelah menamatkan pengajian, Haris mula merancang perjalanan hidupnya untuk bergelar anak seni.

“Terdetik di hati saya untuk membuat pameran seni secara solo setelah bergraduasi bagi melihat sambutan terhadap karya-karya yang dihasilkan.

“Saya bersyukur kerana mendapat sambutan yang amat memberangsangkan dan mula bertapak untuk membuat pameran secara berkumpulan,” ujarnya.

Menurutnya, sehingga kini terdapat kira-kira 300 karya yang dihasilkan berkisar kepada alam semula jadi dan manusia.

Dalam pada itu, Haris berkata, dia sering menjalankan eksperimen dengan berbagai kombinasi media untuk mengembangkan potensinya.

“Hanya melalui eksperimen kita akan dapat mengetahui hasilnya dan memperbaiki diri untuk menjadi lebih baik,” jelasnya.

Berbicara mengenai penglibatan anak muda dalam bidang seni, Haris mengakui, setiap orang mempunyai bakat yang berbeza, namun masa depan mereka bergantung kepada identiti yang dibawa.

“Terlalu ramai yang menghasilkan karya mengikut trend sehingga mengabaikan identiti diri. Ia memberi kesan terhadap kelangsungan masa depan mereka dalam bidang seni,” ujarnya.