Pandangan matanya seolah-olah menembusi sebuah lukisan yang berada elok di hadapannya.

Lukisan yang dipenuhi warna-warna yang terang dan ceria itu kelihatan begitu menyerlah. Gambaran rumah kampung, pokok-pokok yang berwarna-warni dan kanak-kanak bermain permainan tradisional menjadi subjek yang diketengahkan beliau dalam imaginasi yang tersendiri.

Sebagai pelukis aliran seni naif, Hudry Hayat mengakui setiap karya yang dihasilkan lahir daripada imaginasi diri yang melangkaui batasan fikiran kehidupan normal.

“Seni naif lebih bersifat keanak-anakan. Malah, sesiapa juga boleh terjun dalam gaya lukisan naif kerana ia merupakan seni yang lahir daripada hati pelukis itu sendiri mengikut apa yang dibayangkan atau difikirkan.

“Itulah antara keistimewaan aliran seni ini. Ia tidak begitu rumit, tetapi masih mempunyai daya tarikan dalam kalangan penggemar karya seni naif.

“Cuma, setiap pelukis perlu ada kesungguhan dan kesabaran yang tinggi untuk terus bertahan dalam aliran seni ini,” katanya ketika ditemui K2 pada pameran [email protected] Series 1 The Journey baru-baru ini.

The Journey menyatukan empat pelukis dengan latar belakang berbeza iaitu Hundry; penulis lirik terkenal, Roslen Fadzil, Hayati Rashid iaitu peguam yang lebih dulu mendalami fesyen dan Nor Aishah Alli yang memiliki kerjaya sebagai jurutera.

Budaya Melayu

Karya Hudry lebih cenderung kepada pemandangan kampung dengan memaparkan rumah-rumah dan budaya-budaya Melayu di Nusantara.

Katanya, karya-karya tersebut diharapkan mampu menjadi tatapan generasi muda yang lahir pada zaman ini agar sejarah dan budaya Melayu tetap berkekalan.

Antara lukisan-lukisan yang dipamerkan pada pameran tersebut ialah Musim Buah, Kampung Siri 110, Cuti Sekolah, Mencuci Baju di Sungai dan Kampungku.

Anak didik Yusof Gajah itu memulakan kerjaya melukis sepenuh masa pada tahun 1990 dan kini telah mempunyai galeri seni sendiri iaitu Hudry Hayat Art yang terletak di Pasar Seni, Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, Hudry berkata, dia mula melukis di Pasar Seni pada tahun 1992 dan menjadi artis tetap 15 tahun selepas itu.

“Di sinilah tempat saya mula mendapat ilham untuk cuba menghasilkan karya berunsur naif.

“Lebih membanggakan, saya dapat berguru dengan pelukis naif tersohor iaitu Yusof Gajah. Beliau ialah mentor saya,” katanya yang menggunakan cat minyak dan akrilik dalam lukisannya.

Pengalaman selama 29 tahun itu membuatkan jiwa seninya tidak betah untuk duduk berpeluk tubuh selepas mengakhiri dunia pekerjaan. Justeru, dia memilih untuk berkarya dan menghasilkan lukisan sendiri.

“Apabila menerokai aliran ini, saya rasa ia sebati dengan jiwa kerana tiada sebarang kekangan untuk berkarya.

“Dalam erti kata lain, pelukis seni naif bebas menghasilkan apa sahaja bentuk lukisan walaupun merasakan mereka tiada bakat melukis,” ujarnya.

Apabila berbicara tentang seni, memang banyak yang diluahkan oleh Hudry terutama dalam aspek perkembangan seni visual dan seni catan di tanah air.