Kebelakangan ini, peningkatan generasi Y dalam bidang seni telah menambahkan lagi warna-warni industri seni di Malaysia.

Bagaimanapun, ketika generasi Y semakin mencapai kematangan dalam berkarya, mereka sering dilabelkan sebagai pemalas, melawan aturan dan sering memberontak.

Pameran seni berjudul Y Kanvas yang berlangsung di Galeri Core Design, Subang Jaya, Selangor baru-baru ini membuktikan bahawa karya-karya seni yang dihasilkan oleh empat artis generasi Y iaitu Mohd. Haafiz Shahimi, Anisa Abdullah, Haslin Ismail dan Nor Tijan Firdaus bukan sekadar biasa, sebaliknya mempunyai nilai intrinsik luar biasa.

Y Kanvas bukan semata-mata mengenai perkembangan seni kontemporari, sebaliknya satu pembelajaran berkenaan kualiti generasi Y dan kaedah mereka mengekspresikan seni.

Salah seorang artis, Mohd. Haafiz dilihat sebagai pelopor seni haba cetak apabila karya terbaharunya berjudul The Constant Revival menonjolkan tahap keperincian sesebuah karya berasaskan cat.

Pemuda yang mesra dikenali sebagai Haafiz Shahimi itu memberitahu, keempat-empat karyanya diinspirasikan daripada perjalanannya sebagai anak seni selama hampir lapan tahun yang mengangkat mesej evolusi dan reformasi sesebuah kehidupan.

Cerita anak kelahiran Sungai Petani, Kedah itu, siri berkenaan adalah lanjutan daripada karya prototaipnya yang berjudul Kembali Bernafas.

“Karya ini merupakan lanjutan pembaharuan daripada karya prototaip yang dihasilkan dan ia lebih mengetengahkan pembaharuan dari pelbagai sudut.

Apresiasi

“Bukan sahaja kreativiti dalam menghasilkan sesuatu yang baharu, malah menjadi apresiasi terhadap rakyat Malaysia yang bangkit daripada kegagalan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Galeri Core Design, Petaling Jaya Selangor baru-baru ini.

Menurut anak sulung daripada empat beradik itu, karyanya berbeza kerana yang sebelumnya lebih bersifat agresif dalam aspek teknikal, material, permukaan dan komposisi.

Bagaimanapun, kali ini, Haafiz Shahimi memberitahu, keempat-empat karyanya lebih tenang, lembut dan minimum.

Tambah Haafiz Shahimi, berbeza dengan artis lain, dia menggabungkan alam fizik dalam seni visual yang dihasilkannya.

“Saya menggunakan teknik cetakan haba, petrol untuk melakar dan die fabrik sebagai warna sekunder.

Haafiz Shahimi yang mengambil masa selama dua minggu untuk menghasilkan keempat-empat karya itu mengakui, cabaran utama yang dihadapinya adalah untuk mengawal dan mengendalikan bahan utama iaitu api.

Bagaimanapun, ia tidak menjadi halangan untuk Haafiz Shahimi menghasilkan yang terbaik kerana baginya eksperimentasi secara berterusan akan mendapatkan hasil yang diinginkan.

Sementara itu, seorang lagi pelukis, Anisa turut menampilkan kelainan dalam dua karya seni kolajnya yang dipamerkan.

Menariknya, karya yang dihasilkan anak kedua daripada empat beradik itu menggunakan bahan terpakai seperti surat khabar untuk membentuk imej.

“Saya menganggap kertas sebagai palet warna bagi menghasilkan karya dan ia amat menarik untuk diterokai dengan gabungan warna-warna tertentu.

“Saya ingin berkongsi dengan pengunjung bahawa seni itu tidak terbatas dan boleh dihasilkan menggunakan pelbagai cara,” katanya.

Anisa memberitahu, mesej utama yang ingin disampaikan adalah tidak sesekali melupakan asal usul meskipun hidup dalam zaman kemodenan.

Menurut pemegang Ijazah Sarjana Muda Seni Halus, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam itu, dia mengetengahkan konsep lama dan baharu dalam karyanya yang mengambil masa lima bulan untuk disiapkan.