Kepenatan itu ditolak tepi tatkala melihat anak-anak ketawa gembira dan membesar dengan sihat serta cerdas fikirannya.

Menyedari cabaran yang terpaksa ditempuhi oleh insan bergelar ibu, Salwa Mohd. Saleh, 34, berkongsi pengalaman peribadinya menguruskan empat orang cahaya mata yang berusia antara 11 bulan sehingga sembilan tahun menerusi buku bertajuk Drama Wonder Emak!.

“Saya ingin memberitahu kepada emak-emak di luar sana bahawa apa yang mereka hadapi sekarang adalah normal sama seperti orang lain.

“Semua orang ingin menjadi ibu terbaik dan sempurna tetapi hakikatnya kita sebagai manusia harus menempuhi pelbagai cabaran hidup,” katanya yang berasal dari Teluk Intan, Perak.

Buku ini juga bertujuan untuk meminimumkan kesilapan yang pernah dilakukan agar para ibu tidak mengulang perkara yang sama.

Buku Drama Wonder Emak! merupakan kesinambungan bukunya yang pertama iaitu bertajuk Bila Emak Berdrama.

Tip

Bercerita mengenai idea menghasilkan buku, Salwa berkata, beliau pada awalnya menulis blog sejak tahun 2003.

Ketika itu beliau banyak berkongsi tip keibubapaan dan banyak menerima komen positif daripada pembaca di blog miliknya yang dikenali sebagai salwasaleh.com.

“Antara tip yang saya kongsikan ialah cara mengawal anak mengamuk dan alangkah gembiranya apabila ada ibu yang mengikuti tip tersebut berjaya meredakan anaknya.

“Menerima maklum balas pembaca itu membuatkan saya berasa sangat puas dan seronok kerana dapat membantu para ibu,” ujarnya yang merupakan Jurulatih Pemasaran Online.

Sehubungan itu, Salwa mengambil keputusan untuk membukukan tulisan di blognya agar dapat berkongsi dengan lebih ramai ibu. Buku pertama Salwa banyak menyentuh topik berkenaan bayi dan kanak-kanak berusia empat tahun.

Kali ini, karya keduanya dilihat lebih mencabar kerana membincangkan mengenai topik anak bermula usia lima tahun sehingga sekolah rendah kerana mereka sudah besar dan petah berkata-kata serta bertanya banyak persoalan.

Justeru, Salwa mengambil masa setahun lebih untuk menyusun setiap topik itu agar ia sesuai dengan isu semasa dan relevan.

Buku Drama Wonder Emak! disasarkan kepada ibu berusia 25 hingga 45 tahun yang mempunyai anak kecil. Beliau yang bekerja dari rumah turut mengakui kesukaran utama untuk menghasilkan buku tersebut ialah apabila perlu membahagikan masa menjaga anak-anak.

“Biasanya saya akan menulis sekitar pukul 2 hingga 5 pagi kerana pada waktu ini idea datang mencurah-curah,” jelas anak kelima daripada lapan beradik itu.

Selain itu, Salwa yang sudah biasa dengan penulisan blog yang santai mengakui, mengalami sedikit kesulitan apabila perlu menterjemahkannya ke dalam konsep buku yang agak serius.

Oleh itu, beliau akan menyemak dan menyunting beberapa kali supaya mesej sampai kepada pembaca.