Bakat penulisannya mula diasah ketika mengikuti Bengkel Minggu Remaja Keempat 1988 sebelum mendapat galakan untuk menulis cerpen dan berjaya menghasilkan antologi bersama penulis tersohor negara, Allahyarham Othman Puteh.

Bagaimanapun, beliau yang mesra disapa Alex bertekad untuk terus mengembangkan bakat penulisannya dengan menghasilkan novel pertama berjudul Topeng pada tahun 1992.

“Saya menggunakan pengalaman sendiri semasa menuntut di Universiti Malaya (UM) dan tinggal di kolej keempat untuk novel pertama saya tetapi menggunakan watak-watak fiksyen.

“Topeng menceritakan tentang seorang individu yang mengejar impiannya sehingga melupakan diri sendiri,” ceritanya sambil memberitahu, naskhah itu diulang cetak pada tahun lalu selepas 25 tahun.

Tidak bernoktah di situ, Alex meneruskan penulisan novel kedua bertajuk Sahabat setahun kemudian, namun manuskrip itu hanya dibiarkan tanpa dihantar untuk penilaian selepas melangkah ke alam pekerjaan.

Setelah menjumpai semula manuskrip itu di bilik utilitinya, Alex mengambil keputusan menghantarnya untuk penilaian DBP dan ternyata ia masih relevan serta sesuai diterbitkan.

“Naskhah Sahabat yang dilancarkan pada Julai lalu menceritakan tentang Eugene, Mong Ghee dan Ee Soon yang merupakan sahabat karib.

“Berbeza dengan Topeng, peristiwa yang digambarkan dalam novel Sahabat mengimbau kenangan semasa zaman persekolahan kerana ia menggunakan latar belakang watak fiksyen ketika menuntut di tingkatan enam,” tutur graduan Sarjana Sains (Fizik), UM tersebut.

Capai impian

Jelas Alex, ketiga-tiga sahabat tersebut mempunyai cita-cita tersendiri. Eugene bercita-cita mahu menjadi ahli sains tetapi bapanya mahu dia menjadi doktor.

Mong Ghee pula bercita-cita menjadi penulis manakala Ee Soon mempunyai bakat sebagai pelukis dan ingin menjadi pelukis.

Justeru, beliau membawa pembaca menghayati bagaimana ketiga-tiga sahabat tersebut mencapai impian masing-masing dan cara mereka menghadapi pelbagai dugaan.

Mengulas lanjut, anak kelahiran Butterworth, Pulau Pinang itu berkata, novel Sahabat setebal 261 muka surat itu menggunakan teknik imbasan dan memerlukan beliau mengembangkan penceritaan dengan teliti kerana mempunyai tiga watak utama.

Ujarnya, Sahabat sangat sesuai dibaca oleh golongan remaja yang mahu mencari dan mengejar matlamat dalam kehidupan.

Alex turut menghasilkan karya dalam bahasa Inggeris menerusi naskhah A Man and His Wallet & Other Stories dan karya terbaharunya, Love Will Find You & Other Stories turut dilancarkan bersama novel Sahabat.

Alex mengagumi penulis dari Indonesia, Pramoedya Ananta Toer.

Pada beliau, proses penulisan ibarat dokumentasi cara pemikiran dan apabila dibaca membaca semula karya sendiri, ia dapat mengenal diri sendiri dengan lebih mendalam.

Justeru, lelaki yang kini merupakan perunding perniagaan dalam bidang perubatan itu berharap pembaca dapat mengambil mesej bermanfaat yang cuba disampaikan dalam setiap bukunya.