Namun, anak muda itu yang meniti usia 40 tahun pada tahun ini sebenarnya memiliki bakat sangat besar dalam seni visual.

Ali sememangnya sudah dikenali dalam kalangan sebahagian besar pelukis veteran sejak beliau masih belasan tahun.

Ini kerana ketika berusia 15 tahun, beliau muncul johan pada Pertandingan Seni Olimpik yang dianjurkan sempena pembukaan Muzium Olimpik di Lausanne, Switzerland.

Sehingga kini, lukisan itu masih dipamerkan di muzium berkenaan bersama empat lagi karya pelukis lain.

Selepas memperoleh pencapaian tertinggi itu, Ali tidak pernah berhenti melukis.

“Ketika remaja, saya banyak menggunakan cat air dalam menghasilkan lukisan dan selepas melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang Ijazah Seni Halus, saya bertukar kepada medium cat minyak dan kanvas,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian pameran solonya di Galeri Core Design, Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.

Adaptasi

Ali yang merupakan anak kedua daripada tujuh beradik berkata, pameran solo kelimanya itu dianjurkan oleh Galeri Core Design dengan kerjasama Galeri Art Cube.

Sebanyak 16 karya dipamerkan dalam pameran bertajuk Beyond Painting itu termasuk sebuah karya utama bersaiz besar iaitu dua meter tinggi dan 6.5 meter panjang yang dinamakan sebagai imitation master after Caravaggio - Just swipe it.

Mengulas mengenai karya utama tersebut, Ali memberitahu, lukisan bersaiz besar itu diadaptasi daripada karya pelukis terkenal dari Itali iaitu Caravaggio.

Jelasnya, karya tersebut dihasilkan menggunakan teknik chiaroscuro iaitu teknik pencahayaan yang minimum untuk menciptakan kawasan gelap dan terang dalam sesebuah karya.

“Lukisan bersaiz besar tersebut merupakan percubaan pertama saya dalam menghasilkan karya yang dianggap bertaraf muzium. Kebanyakan karya seperti itu sangat bernilai tinggi dan kerap disimpan di muzium-muzium sebagai koleksi berharga.

“Walaupun mengambil idea daripada karya Caravaggio, tetapi saya mengolah semula lukisan tersebut dengan memasukkan elemen kehidupan masyarakat pada hari ini terutama di Malaysia selain elemen-elemen sekitar kehidupan saya sendiri.

“Sebab itulah jika diamati, keseluruhan lukisan tersebut mempunyai dua sisi yang berbeza iaitu di sebelah kiri, saya memasukkan watak yang sering digunakan dalam karya Caravaggio, manakala di sebelah kanan pula adalah watak ciptaan saya sendiri,” katanya.

Jelas Ali lagi, beliau mengambil masa kira-kira tiga tahun untuk mengkaji karya-karya Caravaggio.

Katanya, hampir sebahagian daripada karyanya mempunyai elemen yang dicedok daripada karya pelukis terkenal Itali itu, manakala selebihnya adalah elemen ciptaannya sendiri.

Selain karya tersebut, 15 karya lain yang dipamerkan bersaiz lebih kecil dan merupakan pecahan elemen yang terdapat pada karya utama tersebut yang dinamakan sebagai Siri Ralit.