Lukisan dengan latar belakang biru firus itu memaparkan ikan buntal dalam keadaan terapung. Hampir separuh daripada badan ikan berkenaan berada di permukaan air.

Melihat pada lukisan berkenaan, ia tidak ubah seperti sebuah lukisan yang menjadikan haiwan sebagai subjek utama.

Namun, menurut pelukisnya, Hamir Soib, terdapat maksud tersirat di sebalik lukisan yang diberikan nama Laksana Buntal Kembong, Perut Buncit Dalam Kosong.

Jelas Hamir, sifat ikan buntal sama seperti mulut manusia.

“Apabila berasa terancam, ikan buntal akan mengembungkan dan membesarkan badannya walhal, dalam badannya hanya ada angin. Jika tidak dikembungkan, saiz sebenar ikan buntal kecil sahaja.

“Sama macam manusia, apabila berasa terlalu yakin dan bermegah-megah, mereka akan bercakap besar serta membangga diri tetapi sebenarnya kata-kata mereka itu tidak mempunyai isi (makna),” katanya ketika ditemui Kosmo! di Segaris Art Centre, Publika, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambah anak kelahiran Johor Bahru itu, dalam erti kata yang lebih mudah maknanya sama sahaja dengan peribahasa, tin kosong iaitu cakapnya banyak, tetapi isinya longgar, bicaranya bersemangat tetapi tidak meninggalkan kesan di hati pendengar.

Berbicara lanjut, semasa menghasilkan lukisan berkenaan pada 2016, Hamir sedang sarat dengan perasaan dan emosi yang bercampur-baur. Lukisan ikan buntal itu diinspirasikan semasa dia berada dalam keadaan marah.

Katanya, dia ingin menggambarkan tentang sikap manusia yang hanya pandai berkata-kata. Oleh sebab itu, mulut pada ikan buntal berkenaan dilukis menyerupai mulut manusia lengkap dengan lidah dan anak tekak. Menarik, luar biasa dan unik sekali lukisan berkenaan.

Laksana Buntal Kembong, Perut Buncit Dalam Kosong merupakan salah satu karya yang diletakkan pada pameran Bintang 5.

Lima dekad

Penganjuran Bintang 5 adalah bersempena lima dekad penubuhan Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan lima tahun penubuhan Segaris Art Centre. Pameran pada kali ini adalah bagi siri keempat dan yang terakhir sejak ia mula diadakan pada November 2017.

Bermula dari siri pertama, Bintang 5 mengumpulkan sebanyak 200 karya daripada 168 artis alumni UiTM. Ia berlangsung sejak 1 Ogos hingga 31 Ogos ini.

Seorang lagi artis, Dr. Hanif Khairi pula mempamerkan tiga buah arca yang dihasilkan dengan menggunakan barang kitar semula seperti kayu, botol plastik, skru dan tiub.

Dengan membawa tema perkahwinan, Hanif menamakan tiga buah arcanya sebagai Bunga Telur, Rumah dan Pengorbanan.

“Tiga buah arca ini dihasilkan ketika saya menuntut di Universiti Monash, Australia pada 2011. Ketika itu, pada setiap hujung minggu banyak rumah akan mengadakan jualan vintaj di hadapan rumah mereka.

“Kebanyakan barang yang dijual masih boleh digunakan. Jadi, saya ambil barang-barang berkenaan untuk dikitar semula menjadi sebuah perhiasan dengan sentuhan dan nafas baharu,” katanya yang merupakan Timbalan Dekan Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka di UiTM Shah Alam, Selangor.

Hanif memberitahu, Bunga Telur dihasilkan dengan menggunakan botol sabun basuh baju, botol air, botol susu segar dan pelbagai lagi. Dia akan memotong botol itu satu persatu mengikut kesesuaian saiz.

Selepas proses itu, botol-botol berkenaan akan dimampatkan pada bentuk yang dikehendaki. Tiada sebarang pelekat digunakan untuk menggabungkan di antara satu lapisan botol dengan botol yang lain.

Arca Pengorbanan pula menunjukkan bentuk badan wanita yang disimbolkan sebagai seorang isteri dan ibu yang telah banyak berkorban dalam sesebuah keluarga manakala, arca Rumah menunjukkan tempat di mana keluarga akan berkasih-sayang.

“Semua proses berkenaan dilakukan dengan perlahan kerana dihasilkan dengan menggunakan tangan tanpa bantuan mesin. Walaupun agak merumitkan namun saya gembira melakukannya,” ujar Hanif.