Sejak beberapa dekad lalu, watak ciptaan Sanrio memainkan peranan penting dalam kehidupan rakyat Malaysia.

Mendapat lesen daripada Sanrio dan dianjurkan oleh Alata Events serta Macexpo, Hello Kitty dan rakan-rakan akan datang ke negara ini pada 24 November hingga 6 Januari 2019.

Pameran di tapak seluas 1,500 meter persegi itu menampilkan 13 zon bertemakan Sanrio, sekali gus membolehkan pengunjung melihat secara dekat serta merakam foto 100 daripada 400 watak comel berwarna-warni yang menawarkan pengalaman visual menakjubkan.

“Pameran ini dijangka menarik kehadiran 100,000 orang pengunjung sepanjang tempoh tersebut.

“Pameran terbesar di Malaysia dan Asia Tenggara ini dianjurkan selama tujuh minggu termasuk cuti sekolah, Krismas serta Tahun Baharu 2019.

“Ia bukan saja menjadi tarikan kepada keluarga dan kanak-kanak tetapi individu berjiwa muda yang mahu mengimbau kenangan lalu selain mencipta pengalaman baharu,” kata Pengarah Alata Events, Albertt Leong pada majlis pelancaran Pameran Our Sanrio Times di Quill City Mall, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tumpuan utama sudah pasti di Perkampungan Sanrio kerana 100 watak daripada keluarga Sanrio akan berkumpul di lokasi itu termasuk kereta api mainan yang sangat nostalgia.

Perkampungan itu dimodelkan berdasarkan Gift Gate di Gotanda, Tokyo yang dibuka pada tahun 1970.

Tarikan kedua ialah replika dompet syiling Hello Kitty iaitu barangan pertama ciptaan Sanrio yang dipamerkan buat julung-julung kalinya di Malaysia.

Hasil sokongan Sanrio di Hong Kong dan Jepun, lebih 300 edisi terhad dan barangan Sanrio vintaj yang jarang ditemui akan dipamerkan.

Selain itu, barisan pereka Sanrio Japan turut hadir untuk mencipta lakaran eksklusif sembilan watak Sanrio terkenal.

Peminat Sanrio juga berpeluang belajar untuk melukis watak kegemaran mereka melalui tutorial satu persatu ditunjukkan oleh pereka.

Ini akan menjadi medan pengunjung mencipta semula watak kegemaran masing-masing.

Pameran Our Sanrio Times akan berlangsung di tingkat 5, pusat beli-belah Quill City Mall, Kuala Lumpur dari pukul 11 pagi hingga 9 malam setiap hari.

Tiket boleh didapati menerusi laman web, www.ticketcharge.com.my atau di talian +603-9222 8811.

Untuk maklumat lanjut, layari laman web, www.oursanriotimes.my atau our sanrio times Malaysia di Facebook mahupun Instagram, oursanriotimes.malaysia.