Pameran seni berjudul Silat Ilmu Warisan yang mendapat sentuhan magis Raja Azhar Idris itu begitu luar biasa kerana digarap dengan penuh artistik dan kreatif.

Menariknya, 26 karya kanvas dan arca kaca berkenaan memberikan spektrum yang luar biasa mengenai mesej yang cuba disampaikan menerusi penonjolan bentuk pergerakan pencak silat.

Ia sekali gus mengangkat martabat pencak silat yang merupakan salah satu seni pertahanan diri warisan bangsa Melayu sejak zaman berzaman.

Cerita Raja Azhar, dia amat meminati silat kerana setiap pergerakan yang ditunjukkan mempunyai maksud tertentu.

“Silat amat unik kerana setiap pergerakan mempunyai maksud tertentu. Pergerakan silat adalah sama walaupun ketika melakukan serangan, pukulan atau bela diri.

Pergerakan

“Walaupun terdapat pelbagai jenis silat namun semuanya terangkum di dalam tujuh elemen iaitu bunga, jurus, tapak, belebat, buah pukul, tempur seni dan tempur bela diri,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! di Galeri Art Case, Ampang, Selangor baru-baru ini.

Justeru Raja Azhar berkata, dia menzahirkan minatnya terhadap seni silat dengan membingkaikan pergerakan unik dalam seni pertahanan diri tersebut ke dalam bentuk lukisan dan arca kaca.

Raja Azhar memberitahu, idea untuk menghasilkan koleksi lukisan dan arca kaca silat tercetus dua tahun dahulu ketika berlangsungnya pertunjukan Langkasuka di Muzium Bangi, Selangor.

“Ketika itu, semua orang memakai budaya tradisional dan saya berasa amat kagum. Di situ mulanya tercetus idea untuk saya menghasilkan karya silat.

“Sejak itu, saya pergi ke kampung-kampung seperti Melaka dan Johor untuk menyaksikan persembahan silat, mengambil gambar dan membuat kajian,” katanya.

Jelas anak kelahiran Beruas, Perak itu, daripada 2,000 keping gambar yang diambil dia hanya memilih 26 keping gambar terbaik untuk dijadikan panduan menghasilkan koleksi karyanya.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Seni Halus, Victorian College of Arts, Melbourne, Australia itu berkata, dia melakar setiap karyanya menggunakan arang, pensel dan pen yang kemudiannya diwarnakan menggunakan akrilik.

“Warna merupakan elemen paling penting yang menghidupkan sesuatu karya dan ia mengandungi maksud tertentu di sebalik pemilihannya,” katanya.

Menurut Raja Azhar, dalam karyanya, dia menggunakan warna merah kerana melambangkan semangat kental dan keberanian berdepan dengan musuh.

Karyanya mempamerkan kehalusan seni silat itu sendiri dan bukannya lambang keganasan.

“Seni silat dipelajari sebagai persediaan diri berdepan dengan musuh bukannya untuk mencari musuh.

“Oleh itu, karya saya sebenarnya menggambarkan seni silat itu lebih indah daripada menakutkan kerana ia menunjukkan kelembutan dalam kekerasan,” ujarnya.

Dua tahun

Dalam pada itu Raja Azhar mengakui bahawa, dia mengambil masa selama dua tahun untuk menyiapkan kesemua karyanya.

Raja Azhar yang memiliki pengalaman selama 45 tahun dalam bidang seni berkata, cabaran utamanya ialah menyatukan idea dan menjadikan setiap karya realistik.

“Silat ini banyak dan langkahnya juga pelbagai. Orang yang tidak mahir silat perlu membuat kajian terlebih dahulu untuk memahaminya.

“Ia bukan soal tempoh masa yang diambil tetapi kualiti yang diketengahkan dalam setiap karya yang dihasilkan,” katanya.

Selain itu, Raja Azhar memberitahu, cabaran yang dihadapi adalah untuk menghasilkan karya silat menggunakan warna hitam putih.

Menurut Raja Azhar, cabaran untuk mengasingkan ton warna lembut ke gelap agak sukar namun disebabkan memiliki pengalaman yang luas ia dapat diatasi.

Jelas Raja Azhar, pameran seni Silat Ilmu Warisan agak istimewa kerana tidak ramai artis yang mengangkat seni pertahanan diri sebagai subjek karya mereka.