Meskipun dilahirkan dalam keluarga diraja dan mempunyai karier dalam bidang perniagaan serta jawatan sebagai Pegawai Pemerintah Batalion Pertama Rejimen 505 Askar Wataniah, ia bukan alasan buat beliau untuk menyimpan hasrat menyambung pelajaran.

Walaupun sibuk dengan tugas hakiki, Kamarul zaman tidak pernah melupakan hasrat tersebut meskipun sudah mempunyai Ijazah Sarjana Muda Perniagaan daripada North Wales University, Britain.

Memilih Universiti Malaysia Pahang (UMP) sebagai lokasi untuk menyambung pelajaran, pemilik dan pengerusi eksekutif kepada lima syarikat itu memulakan perjuangan menuntut ilmu pada Mei tahun lalu, dalam kursus Sarjana Eksekutif Pengurusan Projek.

Menurutnya, beliau memilih UMP memandangkan ia menawarkan kursus yang bersesuaian dengan karier yang diceburinya selain institusi pendidikan berkenaan merupakan antara yang terbaik di negara ini.

“Saya sudah lama mahu menyambung pelajaran namun, sering terikat dengan tuntutan karier. Bagaimanapun, setelah melihat program ditawarkan oleh UMP saya membuat keputusan untuk menyambung pelajaran di sana.

“Kursus yang saya pilih selari dengan bidang yang saya ceburi malah, ia merupakan salah satu elemen penting dalam perniagaan iaitu Pengurusan Projek,” katanya yang sudah menceburi bidang perniagaan sejak tahun 1990-an.

Beliau berkata demikian kepada Kosmo! di Hyatt Regency Kuantan Resort, Kuantan, Pahang baru-baru ini.

Tambahnya, menyambung pelajaran adalah salah satu usaha untuk meningkatkan pengetahuan yang boleh dimanfaatkan dalam memajukan diri dan perniagaan serta pada masa sama ia disertakan dengan minat.

Menceritakan pengalaman sepanjang menyambung pelajaran Kamarul Zaman mengakui ia bukanlah semudah yang disangka.

Jelasnya, meskipun berpengalaman dalam bidang perniagaan, pemahaman secara praktikal berbeza dengan huraian teori.

Pembahagian masa

Banyak istilah yang jarang digunakan meskipun pada dasarnya ia adalah amalan biasa dalam pekerjaan harian.

Menurutnya yang menyertai kursus secara separuh masa, ia memerlukan pembahagian yang seimbang agar beliau dapat melaksanakan tugas hakiki dan tuntutan pembelajaran.

“Saya menyertai kursus ini bersama enam pelajar lain yang juga mempunyai karier sendiri. Ia merupakan satu cabaran untuk membahagikan masa malah, setiap minggu saya perlu menghadiri kelas dan menyiapkan tugasan yang diberikan.

“Pengalaman menjadi kelebihan dalam setiap tugasan. Ia membantu saya dalam menerapkan idea-idea untuk setiap projek yang diberikan,” ujarnya.

Tambahnya, bagaimanapun beliau tidak merasakan menyambung pelajaran sebagai satu beban kerana ia adalah satu cabaran yang perlu dilunaskan.

Hubungan baik dengan pensyarah dan rakan-rakan juga menjadikan perjalanan menyambung pengajian sarjana sebagai pengalaman yang menarik selain sokongan keluarga tercinta.

Modul dan pendidikan yang disediakan UMP amat interaktif dan membantu dalam pemahaman untuk dipraktikkan dalam karier.

Kamarul Zaman juga dikenali sebagai pelajar yang tekun dan tidak pernah menggunakan kedudukan beliau untuk mengambil jalan mudah.

Beliau memberitahu, dalam menuntut ilmu, guru perlu dihormati agar ilmu diberkati.

“Menuntut ilmu tidak mengira umur dan pangkat, namun walau siapa pun kita, guru yang mendidik perlu dihormati.

“Dalam menuntut ilmu saya tetap memberi fokus kepada perniagaan dan tugas dalam ketenteraan. Ia juga satu cabaran namun jika kita fokus dan berdisiplin kita pasti boleh menempuhinya,” jelasnya.

Berkat usaha dan ketekunan, Kamarul Zaman berjaya menghabiskan pendidikan Sarjana dengan keputusan yang cemerlang.

Bukan sahaja meraih keputusan gred purata 3.92, beliau turut diiktiraf sebagai antara dua pelajar terbaik bagi kursus Sarjana Eksekutif yang menerima Anugerah Profesional Pencapaian Sepanjang Hayat.

Jelas beliau, pengiktirafan berkenaan merupakan satu kenangan manis buatnya bersyukur kerana hasil usahanya membuahkan hasil.

“Semua orang boleh berjaya jika mereka tekun dan berusaha ke arah itu. Usia bukanlah penghalang jika kita sentiasa istiqamah dalam apa yang diceburi.

“Saya mahu pencapaian ini menjadi inspirasi buat rakan-rakan dan anak-anak bahawa ilmu harus dituntut hingga ke akhir hayat,” jelasnya.