Dalam mindanya penyakit itu bakal menamatkan kariernya sebagai anak seni. Ini ekoran tangannya sudah tidak bermaya untuk memegang pahat, apatah lagi alatan lain bagi menghasilkan arca.

Namun, beliau melawan penyakit itu dengan terus berkarya. Walaupun lumpuh, beliau masih berkeupayaan untuk berbual. Justeru, Tengku Ibrahim meminta pertolongan seniman muda untuk menghasilkan karya melalui tunjuk ajarnya.

“Tetapi kepuasan itu tidak sama seperti kita buat sendiri.

“Jadi, saya tetap tidak mengalah apabila mula melukis memandangkan tangan kanan masih boleh digunakan selepas tiga minggu mengalami sakit itu,” katanya ketika ditemui Kosmo! di pameran Antara Itu dan Ini baru-baru ini.

Hasil tangan kanannya itu, maka lahirlah sebuah kumpulan lukisan dakwat atas kertas yang dinamakan Lukisan-Lukisan Gelap.

Jalan cerita

Lukisan sebanyak 12 keping itu merupakan sebuah jurnal visual yang menceritakan pengalaman awal dan selepas menghidap strok.

“Setiap lukisan itu mempunyai jalan cerita dan perasaan saya ketika melawan penyakit itu.

“Saya melukis berdasarkan pengalaman sewaktu terlantar di katil. Antaranya ia melakarkan kisah tentang kesakitan, diziarah, tersungkur, memakai lampin, bermimpi aneh dan kemalangan kerusi roda,” ujarnya yang mengambil masa selama dua minggu untuk menyiapkan semua lukisan tersebut.

Tengku Sabri memberitahu, lukisan yang dihasilkan itu membantunya melawan penyakit tersebut dan memberinya semangat untuk terus hidup.

Katanya, melalui aktiviti melukis sekurang-kurangnya dapat membantunya mengurangkan tekanan yang dialami.

Menurut Tengku Sabri, beliau sudah lama berkarya. Jadi, apabila lumpuh dan tidak boleh berbuat apa-apa, ia memberi satu tamparan luar biasa kepada dirinya.

Jelasnya, dalam lukisan terbabit beliau turut menceritakan pengalamannya menggunakan kaedah rawatan tradisional.

Beliau yang masih menggunakan kerusi roda untuk berjalan percaya setiap penyakit ada penawarnya.Justeru, beliau mencari jalan dengan melakukan perkara yang disukai iaitu berkarya.