Seorang pemuda yang memandu kereta Kancil pada hemat penulis telah melakukan kesalahan lalu lintas dan kesalahan itu turut melibatkan sebuah kereta pacuan empat roda yang dipandu oleh seorang lelaki berbadan sasa.

Mungkin tiada kerosakan dan kecederaan berlaku tetapi imej perlakuan yang ditunjukkan tidak mencerminkan nilai kesopanan yang kita junjung tinggi.

Lelaki berbadan sasa berkenaan bertindak keluar lantas merampas kunci daripada pemandu kereta Kancil yang kelihatan menggigil ketakutan dan tidak putus-putus meminta maaf.

Dengan muka bengis, pemandu kereta pacuan empat roda meminta lesen memandu daripada pemuda kereta Kancil dan mula mengeluarkan kata-kata yang penulis rasakan lebih kepada ugutan.

Pemandu kereta Kancil sudah pucat mukanya. Lelaki sasa tadi selepas melihat lesen pemandu kereta Kancil, terus mencampakkan lesen memandu dan kunci kereta ke muka pemandu Kancil berkenaan. Kemudian penulis lihat dari dahi pemandu kereta Kancil itu mengalir darah.

Walaupun telah mencederakan pemandu kereta Kancil, lelaki yang memandu pacuan empat roda itu tanpa sedikit pun rasa bersalah atau niat untuk meminta maaf, terus ke keretanya dan berlalu pergi dengan laju.

Mulutnya terkumat-kamit membebel dan menunjukkan muka bengisnya.

Emosi

Penulis sebagai orang yang memerhatikan dari jauh memang tidak tahu apa yang telah berlaku atau sejujurnya tidak tahu siapa yang bersalah tetapi peristiwa itu meninggalkan kesan yang mendalam.

Daripada kesalahan lalu lintas yang biasa, kejadian itu menyebabkan seorang pemuda mengalami kecederaan, walaupun tidak parah tetapi cuba bayangkan jika kunci kereta yang dibaling dengan ganas dan laju itu mengenai mata pemandu kereta Kancil. Boleh jadi buta mata pemuda itu.

Sejak kejadian itu penulis sering memerhatikan gelagat pengguna jalan raya di negara ini. Semua berlumba-lumba mengejar masa dan jika ada pihak lain yang melakukan kesalahan lalu lintas terus akan terjadi pergaduhan besar. Kesimpulannya, penulis merasakan emosi mengatasi logik pemikiran kebanyakan pengguna jalan raya di Malaysia.

Isu kecil yang seharusnya diselesaikan dengan mudah dirumitkan. Semua isu dibesarkan dan kemudiannya ditularkan di media sosial oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Seterusnya ada pula golongan yang mengambil kesempatan dan mengapi-apikannya sehingga menjadi isu perkauman.

Ingat golongan muda di luar sana, adat dan nilai kesopanan Malaysia harus dipegang selalu walau di mana sahaja kita berada.

Bertenang

Jika anda terlibat dalam kemalangan tidak perlu panik atau marah. Bawa bertenang. Pastikan dahulu tidak ada orang yang cedera. Tiada siapa pun yang mahu terlibat dalam kemalangan.

Bawa berbincang apa yang telah berlaku. Minta maaf jika anda bersalah dan seandainya anda tidak bersalah pula, bawa bertenang dan bincangkan langkah seterusnya yang perlu diambil secara profesional. Daripada terjerit-jerit di jalan yang menyumbang kepada kesesakan lalu lintas, lebih baik masalah yang itu diselesaikan dengan cara baik. Lebih mudah, laporkan saja pada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

Jangan sesekali cuba mengaplikasikan undang-undang sendiri dan bertindak ganas dengan menggunakan kekerasan semasa menyelesaikan masalah yang dialami di jalan raya.

Kalau kenderaan anda rosak kerana dilanggar atau sebagainya, pihak insurans ada untuk menolong dalam proses membaikinya.

Apa guna kalau kita mengambil perlindungan insurans untuk kenderaan jika tidak menggunakannya.

Wang ringgit dan harta dunia boleh dicari tetapi nyawa dan kecacatan tidak boleh diganti.

Sebagai seorang manusia, kita harus banyak bersabar dan utamakan nilai kemanusiaan dahulu. Kalau anda merupakan seorang pemandu yang berhemah, syabas saya ucapkan. Kekalkan nilai murni itu. Selamat memandu dengan rasional semua!