Gedung hasil usaha sama Genting Plantation Bhd. dan Simon Property Group itu kini menampilkan 150 outlet daripada pereka dan jenama yang menjanjikan penjimatan lumayan sehingga 65 peratus setiap hari.

Pengerusi dan Ketua Eksekutif Kumpulan Genting, Tan Sri Lim Kok Thay berkata, sejak pembukaan JPO pada Disember 2011, gedung beli-belah itu telah mentransformasikan industri pelancongan di Malaysia khususnya negeri Johor dengan mencipta segmen pasaran baharu.

“Pembukaan JPO telah mengubah landskap pelancongan di Johor yang mana ia kini menjadi tumpuan pelancong untuk membeli-belah. Selain itu ia juga menyumbang kepada kepesatan pembangunan di kawasan Iskandar Malaysia.

“Dengan ketibaan lebih 4.5 juta pengunjung pada setiap tahun, JPO telah meletakkan Johor dalam peta pelancongan runcit rantau ini dan menjana faedah ekonomi besar kepada masyarakat tempatan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Rasmi JPO di Johor Bharu baru-baru ini.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenan merasmikan majlis tersebut. Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi-Pembangunan Simon Property Group, Mark Silvestri.

Tambahnya, gedung itu telah mencetuskan kesan berganda di luar jangkaan selain penjanaan hasil dan peluang kerja, membantu negeri Johor membina sekali gus memupuk sumber manusia, membangunkan bakat serta meningkatkan nilai modal insan secara keseluruhan.

Jenama premium

Jelasnya lagi, disebabkan aktiviti membeli-belah merupakan komponen terbesar daripada perbelanjaan pelancong di Malaysia, projek pemangkin dan strategik seperti JPO adalah salah satu contoh selain menjadi modul yang baik dalam membantu memperkasakan industri pelancongan serta pembangunan negara.

Sementara itu, Silvestri turut memberitahu, pihaknya amat berbesar hati untuk menawarkan pengalaman membeli-belah yang lebih baik buat penduduk tempatan dan pengunjung luar dengan membawa lebih banyak lagi label pereka serta jenama terulung dengan kadar penjimatan yang lumayan.

“Sejak dibuka pada tahun 2011, JPO telah berkembang menjadi destinasi membeli-belah utama yang menarik jutaan pengunjung dari dalam dan luar negara. Kita juga komited dalam menawarkan lebih banyak jenama premium supaya orang ramai boleh menikmati pengalaman berbeza selain memperoleh produk-produk berkualiti,” ujarnya.