Bermula di Filipina pada tahun 2011, Joy Schools bermatlamat mewujudkan saat manis masyarakat menerusi program yang melibatkan akses kepada makanan segar bagi menggalakkan gaya hidup aktif.

Pengarah Urusan Mondelez Malaysia, Swadheen Sharma berkata, sebagai pengeluar produk kesukaan ramai seperti belVita Breakfast Biscuits, Cadbury, Oreo, Chipsmore dan Twisties, pihaknya mahu menjadi sebahagian daripada saat-saat manis untuk dinikmati dalam komuniti.

Katanya, kerjasama itu turut disertai oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi). Warga kerja Mondelez Malaysia bekerjasama rapat dengan agensi kerajaan untuk menyediakan kebun sayuran di kawasan sekolah yang dipanggil Joy Garden.

“Pihak Mardi telah berkongsi kepakaran mereka dengan membantu menanam hasil tanaman segar yang terdiri daripada ulam-ulam, sayuran dan buah-buahan di Joy Garden.

“Hasil ini kemudiannya akan menjadi komponen utama hidangan yang disediakan di kantin,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Joy Schools di Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Jawa, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Melalui Joy Schools, pihaknya dapat menggalakkan amalan pemakanan seimbang dan permainan secara aktif dalam kalangan generasi muda terutamanya kanak-kanak. Ia sekali gus membantu memperkasa serta mendidik mereka melaksanakan tindakan positif ke arah kesejahteraan diri.

Joy Schools turut bekerjasama dengan Pelan Tindakan Pemakanan Kebangsaan Malaysia Ketiga (NPANM III) untuk menghapuskan masalah kurang zat makanan, mentransformasikan sistem makanan supaya makanan yang berkhasiat boleh didapati oleh semua dan memastikan akses kepada diet yang sihat menjelang tahun 2025.

Perjalanan ke arah perubahan positif bermula daripada masyarakat sekeliling. Pengalaman Mondelez Malaysia boleh memberi impak yang lebih berkesan melalui perkongsian dengan organisasi yang menggalakkan gaya hidup sihat dan aktif.

“Itulah sebabnya kami bekerjasama dengan rakan kesihatan awam utama bagi memperkasakan komuniti ke arah matlamat ini,” tambah Swadheen.

Mondelez Malaysia akan meluaskan lagi program Joy Schools kepada tiga buah sekolah bermula tahun hadapan.