Pengurus Jordan Malaysia, Eric Yong berkata, kempen tersebut berlangsung bermula April sehingga Disember mengikut beberapa fasa.

“Syarikat kami mengakui keperluan mengenai kesedaran tentang 3R, jadi kami akan bekerjasama dengan rakan-rakan alam sekitar untuk menyebar sebanyak maklumat kepada orang ramai melalui rakan media sepanjang tempoh kempen berlangsung,” katanya pada majlis perasmian Green Clean di pusat beli-belah Publika, Solaris Dutamas, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Majlis dirasmikan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Datuk Dr. Ahmad Kamarulnajuib Che Ibrahim.

Turut hadir Duta Besar Norway ke Malaysia, Gunn Jorid Roset.

Jordan turut bekerjasama dengan Biji-Biji Initiative, sebuah perniagaan sosial yang menyokong kehidupan lestari.

Kutip berus gigi lama

Sepanjang kempen itu, Eric memberitahu, Jordan turut memulakan inisiatif mengutip berus gigi lama.

Beliau menambah, pihaknya turut memperkenalkan berus gigi Green Clean Jordan, yang prihatin alam sekitar, selari dengan hasrat mahu Malaysia jadi negara sifar sisa.

“Dicipta oleh pereka dalaman terkenal, Andreas Engescik, produk itu mempunyai rekaan berfungsi yang menggabungkan kecantikan dan kelestarian dalam satu berus gigi Green Clean Jordan yang mementingkan alam sekitar.

“Berus gigi Green Clean Jordan mengurangkan penggunaan sumber alam semula jadi kerana ia diperbuat daripada 100 peratus plastik dikitar semula, manakala bulu berus gigi itu pula diperbuat daripada bahan berasaskan bahan semula jadi dan dipek dalam bahan yang 100 peratus prihatin alam sekitar,” ujar Eric.

Berus gigi Green Clean Jordan terdapat di farmasi dan pasar di sekitar Malaysia, dijual pada harga RM7.90.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Biji-Biji Initiative, William Koong berkata, semua jenis plastik mengeluarkan bahan yang merbahaya setelah diguna semula beberapa kali atau digunakan dalam keadaan melampau.

“Oleh itu, pengurangan penggunaan plastik adalah penting, selain mengurangkan pengguna plastik pakai buang.

“Amalan kitar semula plastik memainkan peranan dalam menyediakan sumber bahan mentah lestari sambil mengurangkan kesan kepada alam sekitar dan masalah-masalah tapak pelupusan sampah,” ujar William.

Jorid Roset turut berkongsi mengenai usaha negaranya dalam mengitar semula plastik.

“97 peratus daripada botol-botol plastik di Norway dikitar semula yang merupakan hasil skema pengutipan botol plastik negara kami.

“Pengeluar plastik juga diberi insentif dengan kadar sifar Cukai Alam Sekitar jika mereka berjaya mendapatkan sasaran pengitaran semula pada tahap 95 peratus,” tambahnya.