Nama Papua itu sendiri sangat asing berbanding Jakarta, Padang, Jogjakarta mahupun Bandung.

Perjalanan ke ceruk kampung itu perlu mendaki dan berjalan di lereng-lereng banjaran gunung selama lebih empat jam.

Itu tidak termasuk lagi terpaksa berjalan di anak-anak sungai deras dan sejuk hasil cairan glasier dari puncak pergunungan.

Kod komunikasi

Ketika berjalan di lereng gunung, penulis bersama dua orang rakyat tempatan kerap kali mendengar jeritan sayup-sayup yang datang dari arah pergunungan bersebelahan.

Ia seakan menyambut kehadiran kami yang dianggap sebagai orang asing. Jeritan itu kami sambut pula dengan perkataan wa sebanyak 10 kali bermaksud hello dan diiringi selamat siang.

Ini antara kod komunikasi yang digunakan dalam kalangan masyarakat yang tinggal di kawasan pergunungan tersebut untuk menerima dan menyampaikan mesej secara tradisional tetapi unik.

Disebabkan kedudukan geografinya yang bergunung-ganang, setiap suara jeritan itu mudah didengari sekali gus dapat memberi respon segera.

Proses komunikasi itu penting bagi menyampaikan maklumat tentang bantuan, undangan majlis keraian hinggalah kepada upacara kematian.

Nama Papua Barat (dahulunya dikenali sebagai Irian Jaya) terletak di timur Indonesia bersempadan Papua New Guinea.

Perjalanan ke kawasan itu sangat mencabar. Penulis perlu mengambil penerbangan dari Kuala Lumpur ke Jakarta kemudian ke Jayapura dan akhirnya barulah ke daerah tengah pergunungan iaitu Wamena.

Keseluruhan perjalanan termasuk transit mengambil masa sekitar 11 jam.

Suhu di sekitar wilayah Jayawi jaya khususnya tempat tinggal penulis di Wamena ini adalah sekitar 17 Celsius (°C) pada siang hari dan 12 Celsius (°C) pada waktu malam.

Masyarakat Papua sememangnya mudah dikenali dengan rupa parasnya yang berkulit gelap dan berambut kerinting seperti warga Melanesia dan Polynesia yang lain.

Malah, ketika berada di tempat awam membuatkan penulis berasa asing dan tidak seperti di Asia Tenggara.

Masyarakat tempatan di sana terbahagi kepada dua iaitu yang maju tinggal di bandar manakala Orang Asli pula tinggal di pergunungan. Mereka memiliki rumah unik dipanggil honai.

Bentuk honai ini sama seperti rumah cendawan dalam kartun Smurf yang popular suatu ketika dahulu.

Hampir setiap pinggir gunung yang penulis lalui pasti akan ada honai dan kelompok masyarakatnya.

Bercucuk tanam

Mereka hidup dengan bercucuk tanam di pinggir gunung dan menternak babi.

Makanan ruji mereka pula adalah ubi keledek dan sayur-sayuran yang ditanam sendiri serta hasil buruan.

Seperkara yang menarik perhatian penulis ialah mereka tidak mempunyai tandas.

Ini bermakna, jika ingin membuang air kecil atau besar, boleh dilakukan di mana-mana sahaja asalkan tertutup.

Namun, ia tidak menimbulkan kesan kotor kerana akhirnya semua hasil buangan itu akan dimakan oleh babi ternakan yang berkeliaran di sekitar honai.

Bak kata orang tempatan, takkan lengkap kunjungan ke Papua ini jika tidak ke Wamena dek kerana kekayaan budayanya.

Wilayah itu juga kenali dengan Festival perang di Lembah Baliem yang berlangsung Ogos setiap tahun.

Daerah tersebut yang menempatkan Taman Negara Lorentz memiliki tasik Habbema iaitu sebuah tasik tertinggi di dunia dan Puncak Trikora, dipercayai antara puncak gunung tertinggi di Asia Tenggara.

Bagi pencinta alam sekitar dan budaya yang terpelihara, destinasi Papua Barat mungkin boleh dijadikan pilihan untuk dikunjungi.

Penulis juga menanam impian untuk kembali di bumi Wamena ini pada masa akan datang.