Suatu masa dahulu peranan Jakim pernah dipertikai dan dicabar oleh al-Arqam. Kini kritikan lantang datang dalam kalangan ahli-ahli politik pula.

Apakah motif sebenar mereka? Bagi memahami peranan Jakim eloklah dilihat semula kandungan dokumen penubuhannya sebagaimana teks yang boleh dicapai melalui portal www.Islam.gov.my.

Jakim berperanan sebagai agensi Pusat dalam perancangan pengurusan hal ehwal Islam dan pembangunan ummah dengan fungsi-fungsi seperti berikut:

- Bertanggungjawab seperti perancang yang menentukan pembangunan dan kemajuan hal ehwal Islam di negara ini

- Merangka dasar bagi pembangunan hal ehwal Islam di negara ini dan menjaga kesucian akidah dan ajaran Islam

- Membantu menggubal dan menyeragam undang-undang dan peraturan yang diperlukan serta menilai dan menyelaras pelaksanaan undang-undang dan pentadbiran yang sedia ada dari semasa ke semasa dalam usaha untuk menyelesaikan masalah-masalah umat Islam

- Melaksanakan program-program pembangunan ummah dan penghayatan Islam dalam pengurusan negara

- Menyelaras mekanisme penguatkuasaan undang-undang serta peraturan-peraturan pentadbiran Hal Ehwal Islam di seluruh negara

- Membuat penilaian program-program hal ehwal Islam yang dilaksanakan di negara ini

- Bertindak sebagai pengumpul, penyebar dan pusat rujukan maklumat mengenai hal ehwal Islam dan

- Melaksanakan usaha-usaha pembangunan ummah melalui kerjasama di peringkat serantau dan antarabangsa.

Halal

Peranan Jakim yang paling ketara kepada umum sekarang ialah sebagai agensi pengeluar logo halal.

Barangkali Jakim dipertikai kerana lain-lain perkara yang telah dilakukannya sejak ditubuhkan pada 1997 tidak meninggalkan impak yang ketara sebagaimana peranannya sebagai pengeluar sijil halal.

Lalu apakah wajar kritikan terhadap kewujudan dan peranan Jakim?

Persatuan Ulama Malaysia (PUM) tampil awal untuk mempertahankan Jakim dengan menyifatkannya sebagai institusi penting bagi menyelaraskan hal ehwal Islam di Malaysia.

Presidennya Sheikh Abdul Halim Abd. Kadir berkata, mereka yang mempertikai kewujudan Jakim hanyalah bertujuan untuk menyekat perkembangan Islam di negara ini.

Dalam satu kenyataan baru-baru ini, Sheikh Abdul Halim menegaskan bahawa kewujudan Jakim sangat relevan dan perlu dipertahan bagi melindungi kedaulatan negara.

Eloklah badan-badan Islam yang lain tampil sama untuk bukan sahaja mempertahan Jakim, tetapi turut menyoal motif dan kebijaksanaan ahli-ahli politik pengkritik yang beragama Islam ini.

Keunikan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan adalah sebahagian daripada kedaulatan Malaysia.

Kedudukan ini membolehkan Islam diperkukuh secara sah melalui undang-undang syariah, mahkamah syariah, jabatan agama Islam dan majlis agama Islam negeri.

Penyelarasan

Bagaimanapun disebabkan tanggung jawab mengurus dan menguatkuasakan undang-undang berkaitan Islam terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan bukannya Persekutuan, jelas perlunya ada penyelarasan supaya tidak berlaku ketempangan dan ketidakseragaman pelaksanaan.

Peranan penyelaras inilah yang perlu dilaksanakan oleh Jakim. Barangkali dari sudut inilah peranan yang disandarkan kepada Jakim kurang ketara keberkesanannya.

Sedikit sebanyak ia mengundang kritikan. Apa pun kelemahan ini tidaklah mewajarkan Jakim dituntut supaya dibubarkan.

Kewujudan dan peranan Jakim masih sangat diperlukan. Apa yang dituntut sepatutnya hanyalah supaya diatasi kelemahan dan ditambah baik pelaksanaan peranan yang termaktub kukuh dalam undang-undang tubuhnya.

Janganlah pihak orang Islam sendiri membedil kedaulatan dan kekuatan Islam di negara ini.