Kehadiran kakitangan PPSTM bersama pengurusan UMT itu telah disambut oleh lebih 50 orang komuniti petani yang mengusahakan pelbagai jenis tanaman sayuran serta mengusahakan madu kelulut di kawasan milik UMT itu.

Pemangku Dekan PPSTM, Prof. Madya Shamsul Bahri Abd. Razak berkata, selain mengeratkan hubungan bersama komuniti, objektif program tersebut juga adalah untuk memperkenalkan Kompleks Agroteknologi PPSTM kepada pihak kerajaan negeri, agensi luar dan badan-badan berkaitan.

“Kompleks Agroteknologi telah siap dibina dan diserahkan kepada PPSTM pada November tahun lalu.

“Kompleks ini berperanan untuk memudahkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran pelajar sarjana muda terutamanya bagi aktiviti amali pelajar. Di samping itu, pelajar siswazah juga boleh menjalankan aktiviti penyelidikan di sini,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Tambah Shamsul Bahri, pelaksanaan program dan kewujudan kompleks tersebut diharap dapat membantu mengeratkan lagi hubungan dua hala antara UMT dan agensi pertanian dan kerajaan negeri Terengganu.

Usai majlis tersebut, para peserta program telah dihidangkan dengan jamuan yang dimasak dan disediakan secara bergotong-royong bersama kakitangan universiti dan pihak komuniti Bukit Kor.

Jana ekonomi

Sementara itu, majlis tersebut turut dihadiri Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Terengganu, Dr. Azman Ibrahim.

Azman dalam ucapannya berkata, pihak kerajaan negeri turut menggalakkan aktiviti pertanian dengan penglibatan penduduk setempat terutamanya komuniti Bukit Kor itu sendiri.

“Penduduk setempat perlu bersedia untuk bergandingan dengan pihak universiti dalam memastikan kelestarian pertanian dan seterusnya menjana ekonomi setempat.

“Hal ini jelas terbukti bahawa pertanian merupakan antara salah satu faktor penyumbang kepada perkembangan ekonomi,” ujarnya.