Antara yang menjadi buruan dan kegilaan ramai ialah jam tangan multisport yang dilengkapi teknologi GPS (sistem kedudukan global).

Ia turut dianggap sebagai antara aksesori ‘perlu ada’ bagi setiap individu yang mengamalkan gaya hidup aktif terutama sebagai persediaan bagi menyertai pelbagai acara perlumbaan.

Bagaimanapun, tidak ramai yang mampu memiliki jam tangan multisport berjenama premium. Jam tangan seperti itu menjadi buruan ramai seperti Garmin dan Suunto disebabkan faktor harga yang agak tinggi.

Menyedari hakikat itu, sebuah syarikat tempatan, JIE Business Sdn. Bhd. (JIE) yang bertapak di Petaling Jaya, Selangor telah mengambil langkah proaktif dengan membawa masuk jenama baharu dalam industri jam tangan multisport iaitu Coros.

Menurut Pengurus Produk syarikat itu, Sean Ng, Coros merupakan jenama yang berasal dari Amerika Syarikat (AS) dan mula terlibat dalam pengeluaran jam tangan multisport sejak tahun 2018.

“Pada asalnya, Coros dikenali sebagai pengeluar topi keledar kelas premium untuk aktiviti berbasikal yang didatangkan dengan ciri-ciri khas.

“Namun, menerusi penyelidikan dan pembangunan yang dilakukan di AS, bermula tahun lalu, Coros mula mengeluarkan jam tangan multisport pertama mereka dikenali sebagai Coros Pace.

“Ia dikhususkan untuk atlet triatlon selain mereka yang gemarkan aktiviti rekreasi seperti mendaki dan larian denai.

“Disebabkan ia mempunyai ciri-ciri pelbagai tetapi ditawarkan pada harga yang mampu milik maka pihak kami mengambil keputusan untuk membawa masuk jenama Coros ke pasaran Malaysia bermula Januari lalu,” katanya.

Menurut Sean, Coros Pace menerima sambutan yang sangat baik dalam kalangan pengguna selepas beberapa bulan diperkenalkan di negara ini.

Justeru, pihaknya tidak menunggu lama untuk membawa masuk model terbaharu jam tangan itu yang dikenali sebagai Coros Apex pada April lalu sebagai pilihan dan alternatif kepada pengguna.

Kata Sean, Coros Apex merupakan model yang telah diperbaharui dan lebih canggih.

Coros Apex didatangkan dengan badan binaan aloi titanium bersaiz 46 milimeter (mm) dan seramik (42mm) yang nyata lebih lasak dan ringan selain dipadankan dengan tali silikon yang lebut serta mudah dilentur.

Ciri-ciri

“Jika dibandingkan, rupa Coros Pace direka agar kelihatan lebih lasak. Coros Apex direka agar kelihatan lebih premium dengan rekaan bingkai bulat seperti kebanyakan jam tangan multisport popular pada masa kini.

“Walaupun begitu, Coros Apex memilihi ciri-ciri yang lebih banyak dan sangat bersesuaian dengan konsep multisport.

“Tidak hanya sesuai untuk aktiviti triatlon, Coros Apex boleh digunakan untuk merekod data bagi puluhan jenis aktiviti sukan dan rekreasi lain seperti berlari, berenang, berbasikal serta mendaki.

“Lebih menarik adalah dengan pengecasan penuh dan pantas selama hanya dua jam, daya tahan baterinya mampu mencapai sehingga 100 jam dalam mod UltraMax GPS, 35 jam dalam keadaan mod GPS penuh selain mampu bertahan sehingga 30 hari dalam keadaan kegunaan biasa,” ujarnya.

Selain itu jelas beliau, Coros Apex turut didatangkan dengan skrin kaca sapphire anticalar selain sistem penjejak lokasi GPS, GLONASS (sistem satelit navigasi global) dan BDS (sistem navigasi satelit BeiDou) yang sememangnya sangat popular pada masa kini.

Ia turut dilengkapi sensor pengesan degupan jantung optikal binaan dalaman, sensor accelerometer, gyroscope dan kompas.

Tidak sekadar itu, pengguna juga boleh memuat turun aplikasi Coros sama ada menerusi platform Apple Store atau Play Store untuk melihat data-data yang telah direkod menerusi jam tangan Coros Apex atau Coros Pace dengan lebih jelas.

Oleh itu, tidak hairanlah apabila Coros Apex telah diangkat sebagai model flagship bagi jenama itu ketika ini kerana ia mampu menyaingi model jam tangan multisport kelas premium daripada jenama terkemuka lain yang ditawarkan pada harga lebih mahal.

Harga

Mengulas mengenai harga pula, kata Sean, Coros Apex ditawarkan dengan dua saiz iaitu 46mm dan 42mm dengan harga masing-masing RM1,499 dan RM1,299.

Pilihan warna didatangkan ialah hitam atau putih.

Coros Pace pula ditawarkan pada harga RM899 dengan tiga pilihan warna iaitu hitam kelabu, hitam merah dan hitam biru serta boleh didapati menerusi pengedar yang sah sama ada di premis fizikal mahupun secara online.

Dilengkapi pelbagai ciri-ciri menarik dan binaan premium, Coros Pace dilihat mampu menjadi alternatif kepada penggiat aktiviti sukan lasak serta rekreasi di negara ini untuk memiliki sebuah jam tangan multisport berkelas premium pada harga mampu milik.