Terdapat pelbagai kegunaan jagung bijian termasuk diproses untuk dijadikan tepung, sirap, minyak dan bahan api selain daripada makanan haiwan ternakan.

Malaysia mengimport bahan makanan ternakan pada tahun 2016 sebanyak RM6.67 bilion dan jagung bijian menyumbang kepada nilai import sebanyak RM3.09 bilion.

Jagung bijian ini diimport dari negara pengeksport utama seperti Argentina iaitu sebanyak RM1.63 bilion, Brazil (RM1.17 bilion) dan Amerika Syarikat (RM0.06 bilion).

Sebanyak 60 peratus daripada formulasi produk makanan haiwan ternakan terdiri daripada jagung bijian.

Antara bahan makanan ternakan yang diimport terdiri daripada jagung bijian, soya, makanan ikan, gandum pollard dan bran.

Pembangunan

Jagung bijian telah kategorikan sebagai sumber kekayaan baharu negara ketika pembentangan bajet 2018 setelah menyedari adanya permintaan yang tinggi terhadap makanan haiwan ternakan khususnya jagung bijian.

Justeru, Projek Pembangunan Industri Jagung Bijian diwujudkan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap import.

Projek Rintis Industri Jagung Bijian telah dilaksanakan bermula tahun 2017 dan akan diperluas pada masa akan datang bagi mencapai sasaran pengeluaran jagung bijian sebanyak 57,664 tan metrik pada tahun 2020.

Bagi tahun 2018, sasaran pengeluaran jagung bijian adalah sebanyak 13,000 tan metrik dengan keluasan sebanyak 2,148 hektar dan melibatkan seramai 435 petani.

Industri ini dilihat berdaya maju untuk dibangunkan secara komersial menyebabkan kerajaan komited untuk menyediakan peruntukan yang konsisten kepada industri jagung bijian dalam tempoh pembangunan tersebut.

Bagi mencapai sasaran itu, Jabatan Pertanian telah menyediakan pelan pelaksanaan yang merangkumi pembangunan petani individu dan kelompok serta syarikat swasta.

Program pembangunan yang dilaksanakan termasuklah pembangunan kawasan, penyediaan infrastruktur dan input-input pertanian seperti baja, racun rumpai, racun serangga, kapur serta benih.

Penyediaan mekanisasi dan kemudahan pengeringan turut dititikberatkan bagi memastikan hasil jagung dapat dikeringkan dengan sempurna dan mencapai kualiti yang telah ditetapkan.

Kejayaan

Selain itu, pihak kerajaan turut melibatkan agensi lain seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar dalam pembangunan serta penyelidikan bagi menyokong program pembangunan industri jagung bijian.

Kejayaan program pembangunan industri jagung bijian ini bergantung kepada tiga elemen utama iaitu lokasi, usahawan atau penanam dan pembeli (pemasaran).

Justeru, dengan adanya ketiga-tiga model pelaksanaan itu diharapkan usahawan akan dapat meningkatkan lagi daya maju pengeluaran jagung bijian dan mendapat pulangan yang baik serta hasil yang berkualiti tinggi.

Projek penanaman jagung bijian perlu dilaksana menggunakan kaedah mekanisasi sepenuhnya bermula daripada menanam benih jagung sehinggalah ke penuaian.

Selain itu, pemilihan varieti yang berhasil tinggi juga diperlukan bagi memastikan pulangan yang tinggi diperoleh oleh usahawan.

Pihak Jabatan Pertanian amat memerlukan kerjasama kerajaan negeri dalam mengenal pasti tanah-tanah yang sesuai untuk penanaman jagung bijian.

Dalam pada itu, Jabatan Pertanian juga akan meneruskan sesi temu sua dengan pengilang dan pengeluar makanan ternakan di Malaysia bagi mendapatkan jaminan pasaran serta memastikan industri jagung bijian terus berkembang di negara ini.

* Bagi mendapatkan maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Jabatan Pertanian Malaysia di talian 03-8870 3042/3050 dan faksimile 
03-8888 5069 atau melayari portal Jabatan Pertanian Malaysia di 
www.doa.gov.my.