Pada tahun ini, para pemain yang menyertai setiap acara berada pada ranking nombor satu Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Antara acara yang dipertandingkan ialah perseorangan lelaki, perseorangan wanita, beregu lelaki, beregu wanita, dan beregu campuran.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Datuk Ng Chin Chai berkata, pihaknya sangat teruja berjaya membawa pemain badminton terkemuka setelah tarikh akhir pada awal Disember lepas.

Katanya, ia merupakan satu petanda yang cukup baik kerana saingan dalam kejohanan itu pastinya menjadi lebih menarik dan kompetitif.

“Kami berjaya membawa pemain badminton terbaik dunia seperti Viktor Axelsen dari Denmark, Lin Dan dan Cheng Long (China) serta Kevin Sanjaya Sukamuljo-Marcus Fernaldi Gideon (Indonesia),” katanya dalam satu kenyataan akhbar baru-baru ini.

Turut hadir, Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.

Menurut Chin Chai, PMM 2018 membuka peluang kepada pemain negara menunjukkan taring sebenar mereka di halaman sendiri.

Tumpuan peminat negara pastinya terarah pemain perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei dan beregu campuran Tan Kian Meng/Lai Pei Jing yang kini menghuni ranking ke-10 dunia.

Di samping itu, gandingan Chan Peng Soon/Goh Liu Ying yang kembali bergandingan juga pasti menjadi perhatian para peminat badminton tanah air.

“Saya berharap sokongan padu daripada penyokong dapat memeriahkan kejohanan ini,” katanya.

PMM 2018 yang berstatus Jelajah Dunia BWF Peringkat 4 menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan sebanyak AS$350,000 (RM1.39 juta).

Tiket dewasa untuk menyaksikan kejohanan PMM 2018 berharga RM18 hingga RM75 mengikut kategori (upper, lower, premium).

Kanak-kanak berusia antara empat hingga 18 tahun pula menikmati diskaun harga tiket sebanyak 50 peratus hingga ke peringkat suku akhir kejohanan.

Pas bermusim juga boleh didapati untuk saingan kali ini. Sebarang maklumat lanjut mengenai tiket sila layari http://www.myticket.asia/.