Segala mimpi yang diangankan selama ini hancur berkecai sekelip mata dan semuanya berakhirnya.

Dalam kebuntuan melawan beban emosi, Nor Mohd. Hafiz membuka komputer ribanya dan meluahkan isi hati serta kesedihan yang dialami dengan menulis di Microsoft Word.

Ia bertujuan meringankan tekanan yang dialami kerana tidak tahu ingin diluahkan kepada siapa.

Setelah setahun berbuat demikian, tulisan anak kedua daripada empat beradik itu semakin bertambah lalu dia terdetik menghasilkan sebuah buku untuk berkongsi kisah hidupnya.

Pada tahun 2015, Nor Mohd. Hafiz berjaya menghasilkan dan menerbitkan sendiri buku bertajuk Bagaimana Bankrap Menjadikan Aku Kaya.

“Buku ini banyak menceritakan kisah jatuh bangun saya dalam perniagaan sehinggalah diisytiharkan bankrap.

“Sejak di bangku sekolah rendah saya sudah berniaga seperti kacang dan minat itu tidak pernah padam,” cerita Pengasas Cool Hijab iaitu produk serum rambut sejak tahun 2014.

Objektif utama Nor Mohd. Hafiz menghasilkan buku tersebut ialah untuk berkongsi pengalaman dan membangkitkan semula semangat mereka yang telah diisytiharkan bankrap.

Dia mahu kisah hidupnya itu dijadikan pengajaran agar kesilapan yang sama tidak diulangi oleh orang lain.

Dahulu dia terlalu tamak mengejar kekayaan sehingga melakukan pelbagai perniagaan pada satu-satu masa seperti produk jamu dan kedai telefon bimbit.

Justeru, anak kelahiran Perlis itu hilang fokus dan perniagaannya terpaksa gulung tikar.

“Saya ingin mengubah mentaliti mereka tentang bankrap kerana sebenarnya kita masih boleh meneruskan perniagaan dan kaya walaupun memegang status tersebut.

“Oleh itu, saya memberikan beberapa tip penting untuk keluar daripada bankrap dan menjadi orang yang lebih baik dalam perniagaan,” tutur pemegang Diploma Elektronik Perubatan dari Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor itu.

Dia terharu apabila mendapat maklum balas yang baik daripada pembaca sehingga menerima panggilan telefon daripada seorang individu meluahkan kekecewaannya ekoran ditimpa muflis.

Sasaran

Buku setebal 215 muka surat itu sangat istimewa kerana bapa kepada seorang cahaya mata itu menggunakan ayat santai serta memasukkan unsur emosi dan kelakar.

Sehubungan itu, ia turut menarik minat anak remaja untuk membacanya kerana ayat digunakan seperti di laman Facebook.

Sasaran pembaca bagi buku tersebut ialah orang yang membuat pinjaman perniagaan, orang yang bankrap dan semua peniaga.

Mengulas mengenai cabaran nak menghasilkan buku Bagaimana Bankrap Menjadikan Aku Kaya, bekas pelukis komik itu berkata, dia menghadapi sedikit masalah untuk mengumpul gambar-gambar lama miliknya untuk dimasukkan ke dalam karya itu.

“Saya banyak memasukkan gambar agar penceritaan itu dapat dihayati oleh pembaca dan mereka tidak berasa bosan.

“Oleh itu, dalam masa satu hari sahaja mereka boleh habiskan bacaan,” ujarnya.

Di samping itu, dia juga terpaksa membuat cetakan semula apabila bekas rakan perniagaannya meminta agar nama mereka dipadamkan daripada buku tersebut.

Pada masa akan datang, Nor Mohd. Hafiz bercadang untuk menerbitkan buku perniagaan yang bakal diterbitkan pada tahun hadapan.