Namun, keluasan tanaman kelapa terus berkurang daripada 105,659 hektar pada tahun 2010 kepada 87,550 hektar pada tahun 2014. Keluasan kawasan tanaman kelapa yang dicatatkan pada tahun 2017 pula terus berkurangan kepada 82,917 hektar sahaja.

Penurunan keluasan kawasan tanaman kelapa adalah disebabkan oleh penukaran tanaman kelapa sedia ada kepada tanaman lain seperti kelapa sawit, sayur-sayuran, tanaman kontan selain turut dijadikan kawasan perumahan.

Pada masa kini, petani yang mempunyai tanaman kelapa tua yang kebanyakannya daripada varieti Kelapa Tinggi Malaya hanya menerima purata pendapatan sekitar RM500 sebulan.

Ia disebabkan pokok yang telah tua dan tidak produktif. Bagi meningkatkan pendapatan, mereka perlu menanam kelapa daripada varieti berhasil tinggi seperti kelapa matag yang mampu menghasilkan sebanyak 25,000 biji sehektar setahun, sekali gus membolehkan petani memperoleh pendapatan melebihi RM1,000 sebulan.

Dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh, Jabatan Pertanian telah membangunkan kawasan kelapa seluas 2,179 hektar termasuk projek tanam semula (923 hektar), pemulihan (650 hektar) dan integrasi dengan tanaman lain (607 hektar).

Pada tahun 2016 pula, seluas 748 hektar kawasan tanaman kelapa telah dibangunkan termasuk projek tanam semula melibatkan keluasan 540 hektar serta projek pemulihan dan integrasi dengan tanaman lain seluas 208 hektar.

Permintaan kelapa tua pada tahun 2020 dijangka mencapai 0.7 bilion biji setahun dengan kadar perkapita penggunaan kelapa adalah 22 biji seorang bagi setahun.

Pada masa ini, negara masih mengimport sekitar 150 juta biji kelapa tua setahun untuk menampung kekurangan bekalan kelapa tempatan bagi jualan segar dan untuk kilang memproses kelapa.

Program pembangunan

Jabatan Pertanian telah merangka Program Pembangunan Industri Kelapa 2018 bertujuan meningkatkan pengeluaran kelapa tempatan sebagai usaha mengurangkan kebergantungan kepada pengimportan kelapa.

Ia juga bagi memenuhi keperluan penduduk dan menggalakkan perkembangan aktiviti hiliran sedia ada serta penanaman benih kelapa varieti terpilih berhasil tinggi bagi menggantikan varieti Kelapa Tinggi Malaya yang tidak lagi produktif.

Program pembangunan ini dilakukan melalui pelaksanaan projek tanam semula dan projek baharu, program pemulihan ladang-ladang sedia ada serta mempergiatkan aktiviti integrasi dengan tanaman lain.

Projek ini akan memberi manfaat kepada golongan sasar seperti pekebun kecil, usahawan, pihak koperasi serta syarikat swasta yang berminat dalam pembangunan ladang kelapa dan pembangunan kebun benih.

Bagi sesiapa yang berminat sama ada pekebun kecil, usahawan mahupun pihak swasta bolehlah menghubungi Jabatan Pertanian bagi mendapatkan maklumat yang terperinci mengenai projek ini seterusnya mengemukakan permohonan bagi pelaksanaan Projek Pembangunan Industri Kelapa ini ke Pejabat Pertanian Daerah yang terdekat.

Dengan adanya langkah-langkah yang dijalankan oleh Jabatan Pertanian terutama bagi pembangunan industri kelapa, unjuran pengeluaran kelapa dijangka meningkat daripada 504 juta biji pada tahun 2017 kepada 600 juta biji pada tahun 2020.

Peningkatan tersebut diharapkan dapat mengurangkan kebergantungan negara terhadap pengimportan kelapa tua dari negara jiran.

Melalui program pembangunan industri kelapa sebagai sumber kekayaan baharu negara di samping menjana pendapatan kepada pekebun kecil kelapa, ianya juga dapat menjamin sekuriti makanan negara dan menyediakan pelbagai peluang yang boleh diteroka hasil daripada pemprosesan produk-produk berasaskan kelapa seperti santan segar, air kelapa, kerisik, kelapa parut kering dan juga minyak kelapa.

- Bagi mendapatkan maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Jabatan Pertanian Malaysia di talian 03-8870 3042/3050 dan faksimile 
03-8888 5069 atau melayari portal Jabatan Pertanian Malaysia di 
www.doa.gov.my.