Bertemakan Gerbang Pesona Malaysia, para pengunjung hotel akan disambut dengan dekorasi yang diinspirasikan dari era zaman Melayu tradisional dan disulami seni bina ikonik negara di sekitar ruang legar tingkat satu hotel itu.

Pasukan kulinari diketuai Cef Eksekutif, Ahmad Farhan Noorazali berkata, pada bulan Ramadan tahun ini, hidangan yang disediakan berbeza pada setiap hari mengikut konsep makanan yang menjadi lambang budaya masyarakat Malaysia.

“Lebih 100 menu ditawarkan sepanjang bulan puasa ini antaranya gulai lemak siput sedut, nasi ayam Hainan, nasi ambang, telur dadar tiram, daging masak kaldereta dan kari itik.

“Saya yakin yang menjadi sasaran tetamu ialah menu istimewa kami iaitu kambing golek dan ikan bakar yang disediakan secara langsung di gerai luar hotel,” katanya ketika ditemui K2 pada majlis pelancaran menu Ramadan di hotel itu baru-baru ini.

Tambah Ahmad Farhan, selain menikmati kelazatan makanan, tetamu yang hadir turut berpeluang merakam gambar kenangan berlatarbelakangkan dekorasi dinding-dinding 2D yang lengkap dengan prop berkonsepkan gerai jalanan.

“Lebih hebat lagi, lokasi yang disajikan hidangan berbuka puasa ini berhampiran dengan laman air Hotel Sama-Sama.

“Saya pasti ia akan menjanjikan pengalaman yang unik buat tetamu terutamanya yang hadir bersama seisi keluarga,” ujarnya.

Selain itu, Ahmad Farhan memberitahu, Hotel Sama-Sama turut menyediakan durian bagi tetamu yang menggemari Raja Buah itu.