Sejak dibuka pada tahun 2008, gerai yang terletak di Jalan Iskandar Kampar (berhadapan Masjid An-Nur Kampar) itu menyajikan pelbagai hidangan tempatan dan Barat termasuk pencuci mulut.

Selain itu, pengunjung boleh menikmati lebih 30 jenis minuman berasaskan kelapa pada harga RM3 hingga RM16.90 dan pastinya Kelapa Leleh menjadi tarikan utama.

Pengasas Kelapa Lelehhh Kampor, Hasni Farlina Mohd. Sani, 33, berkata, dia membuat transformasi terhadap minuman air kelapa dengan menggabungkannya bersama pelbagai makanan dan buah-buahan.

Idea

“Idea untuk menyediakan Kelapa Leleh ini timbul apabila saya sendiri ingin mencuba air kelapa yang lain daripada kebiasaan.

“Saya telah menggabungkan air kelapa dengan coklat, buah-buahan tempatan dan import, Milo, biskut, kopi serta menghidangkannya dalam keadaan unik agar boleh menarik minat semua lapisan masyarakat,” katanya ketika ditemui di gerai tersebut baru-baru ini.

Jumbo Leleh, Fruity Famafest Special, Mango Boom, Bimbo, Ice Bucket dan Chocolate Tower antara hidangan berasaskan kelapa yang dihidangkan di kedai tersebut.

Katanya, sambutan yang menggalakkan daripada para pengunjung luar dan dalam negeri membuatkan dia perlu menyediakan sehingga 800 biji kelapa setiap minggu dan bilangan tersebut boleh mencecah sehingga 1,000 biji pada musim cuti sekolah dan perayaan.

Hasni Farlina yang sebelum ini bekerja sebagai jururawat di Arab Saudi berkata, sambutan yang sangat menggalakkan itu membuatkannya mula menambah menu makanan tradisional seperti laksa telur sarang banjir, pasembor talam dan mi godang.

Menu terbaharu

“Antara menu terbaharu makanan Barat pula ialah Western Mix Tower selain menu sedia ada iaitu Burger Twin Tower, Big Jumbo Plate dan Spaghetti Seafood Carbonara.

“Menu yang bakal dilancarkan pula ialah Nasi Ole Bali di samping Tomyam Talam Lambak, pelbagai nasi goreng dan mi, rojak pasembor dan lempeng,” katanya.

Katanya, melihat sambutan yang sangat menggalakkan menyebabkan dia nekad untuk berhenti kerja sejak Januari lalu.

“Pertengahan Disember ini, Kelapa Lehehhh Kampor akan membuka cawangan pertama di Station 18, Ipoh.

“Kami akan cuba menyediakan pelbagai menu baharu atas cadangan dan komentar daripada para pelanggan,” jelasnya.

Kelapa Lelehhh Kampor dibuka dari Rabu hingga Ahad manakala Isnin dan Selasa ditutup bagi membolehkan para pekerjanya berehat.