Maka tidak hairanlah, terdapat sebilangan peladang di daerah Rajshahi memiliki kepakaran menghasilkan variasi sutera bermutu tinggi.

Mereka mampu menghasilkan sutera mulberi berkualiti tinggi atau lebih dikenali sebagai sutera Bengal dan Rajshahi.

Sutera tersebut dihasilkan daripada larva rama-rama yang makan dedaun pokok mulberi.

Menariknya, bebenang sutera halus itu digunakan secara meluas untuk dijadikan busana mewah tradisional masyarakat tempatan.

Setelah kira-kira 40 hari, larva itu akan berubah bentuknya kepada kepompong diselimuti saliva di seluruh tubuh.

Ia kemudian dipindahkan di dalam bekas buluh sebelum dituai.

Penyelia Kilang Sutera Sopura, Akhi Akter berkata, kepompong itu akan diletakkan dalam air panas bagi membunuh ulat itu dan menyingkirkan bebenang halus.

Setelah itu, kepompong yang berlingkaran itu akan dijemur untuk dikeringkan.

“Setiap kepompong mengandungi kira-kira 500 meter benang halus,” katanya.

Benang yang telah dikeringkan itu akan dihantar ke kilang untuk diproses oleh pekerja dengan menggabungkannya untuk dijadikan pakaian.

Material tersebut akan direbus, dibasuh dan dililinkan terlebih dahulu sebelum dihantar ke tukang jahit yang akhirnya dijadikan sari, tunik dan dupatta iaitu sejenis skaf.

Industri sutera Bangladesh pernah jatuh merudum sekitar 1990 dan 2000 disebabkan kelompongan polisi pihak kerajaan yang akhirnya menyebabkan pasaran dipenuhi sutera murah dari China.

Bagaimanapun, kata Ketua Lembaga Pembangunan Sutera Bangladesh, Abdul Hakim, kini negara itu membangunkan pelan bernilai jutaan ringgit untuk memulihkan industri tersebut sekali gus membuka ribuan peluang pekerjaan.

Pakar

“Pemuliharaan ulat sutera memiliki prospek yang besar sekiranya ia dimartabatkan dengan baik.

“Jumlah penternak sutera juga semakin bertambah dari 2,000 orang ke 10,000 orang dalam hanya beberapa tahun kebelakangan ini.

“Pelan kami ialah membawa pakar dari China dan melatih peladang kami bagi meningkatkan jumlah penghasilan sutera,” jelasnya.

Permintaan terhadap sutera Rajshahi telah meningkat dan secara tidak langsung melonjakkan ekonomi Bangladesh sehingga 7.5 peratus tahun lalu.

Sepasang sari sutera Rajshahi berkualiti dijual sekitar AS$100 (RM414) manakala item sutera premium boleh diperoleh sekitar AS$250 (RM1,036) di pasaran tempatan.

Rentetan itu, Akter berpendapat, sutera tersebut wajar dikomersialkan sehingga ke peringkat global.

Hal ini kerana baginya, ia merupakan sumber perolehan terbaik hasil keluaran peladang tempatan.

“Sutera Rajshahi ini memiliki potensi yang sangat besar untuk dieksport ke luar negara.

“Sekiranya semua pihak berganding bahu untuk menjayakan pelan ini, saya yakin ia dapat dilakukan dengan baik sekali,” ujarnya. – AFP