Data Burung Indonesia merekodkan pada tahun 2017, terdapat sebanyak 1,769 jenis burung yang dikenal pasti berbanding dengan jumlah sebelumnya yang mencatatkan sejumlah 1,672 spesies.

Menariknya, pada tahun ini, jumlah spesies burung yang dikenal pasti bertambah dua jenis lagi. Salah satunya merupakan daripada jenis endemik Indonesia yang hanya terdapat di suatu wilayah atau daerah.

Dengan pertambahan itu, ia menjadikan jumlah spesies burung di Indonesia pada tahun 2018 adalah 1,771 jenis.

Ketua Komunikasi Institusi Pembangunan Burung Indonesia, Ria Saryanthi dalam satu keterangan kepada pemberita berkata, salah satu penambahan jenis burung itu ialah Myzomela rote (Myzomela irianawidodoae) iaitu burung endemik di Kepulauan Rote yang terletak di kawasan Nusa Tenggara Timur.

“Burung itu termasuk dalam keluarga Meliphagidae yang dilindungi berdasarkan Peraturan Pemerintah Nombor 7 tahun 1999. Ia bererti bilangan burung yang dilindungi menjadi 436 jenis berbanding 435 jenis sebelum ini,” katanya.

Menerusi pertambahan ini, ia menjadikan jenis burung khas atau endemik dari Indonesia yang telah dikenal pasti bertambah kepada 513 jenis.

Selain Myzomela rote, satu jenis burung baharu yang ditemui ialah Paok papua (Erythropitta macklotii).

Terancam

Sementara itu, berdasarkan Daftar Merah Badan Konservasi Dunia, status burung terancam di peringkat global yang dilaporkan di Indonesia mengalami sedikit perubahan. Terdapat tiga spesies burung yang statusnya dilaporkan semakin terancam.

Ketiga-tiga spesies tersebut ialah burung dara laut alaska (Onychoprion aleuticus), Myzomela bacan (Myzomela batjanensis) dan punggok sumba (Ninox sumbaensis).

Pakar Konservasi Biodiversiti Burung Indonesia, Ferry Hasudungan berkata, jika alam semula jadi di Indonesia yang merupakan habitat burung daripada pelbagai spesies tidak dijaga dengan baik dan dirosakkan, sudah tentu spesies tersebut akan musnah serta tidak ditemui lagi.

“Kesannya, anak-anak cucu kita tidak lagi sempat mengenali spesies burung itu dan hanya tahu daripada bahan ilmiah hasil tulisan ahli-ahli akademik,” katanya.

Satu kajian yang diterbitkan jurnal Nature Climate Change pada tahun 2014 mendapati, kawasan hutan premier di Indonesia telah hilang kira-kira seluas 840,000 hektar iaitu satu jumlah tertinggi berbanding dengan negara-negara lain pada tahun 2012.

Rekod itu turut memperlihatkan jumlah tersebut melampaui negara Brazil yang hanya kehilangan kawasan hutan seluas 460,000 hektar meskipun keluasan hutan Amazon di Brazil mencatatkan empat kali lebih luas berbanding hutan di Indonesia.

Kepentingan hutan sangat berkait rapat dengan kehidupan dan kelangsungan pelbagai jenis burung kerana hutan merupakan tempat untuk mereka hidup, berlindung serta melakukan reproduksi.

Kewujudan pelbagai spesies burung juga memainkan peranan penting. Terancamnya populasi burung bakal membawa keburukan dan impak yang serius kepada kualiti hidupan serta makhluk yang lain di sekitarnya.

Pelancong

Sementara itu, Ketua Balai Besar Taman Nasional Lore Lindu (TNLL), Jusman berkata, pelancong dari luar negara yang mengunjungi Telaga Tambing di Kabupaten Poso di wilayah Sulawesi Tengah hanya datang untuk mengamati dan melihat burung jenis endemik.

Telaga Tambing terletak di Desa Sedoa, Kecamatan Lore Utara yang berada pada ketinggian sekitar 1,700 meter dari aras laut.

Tempat pilihan para pelancong itu sangat mudah diakses kerana ia berhampiran dengan jalan utama.

Untuk sampai ke lokasi tersebut, pengunjung harus membeli tiket masuk dengan harga Rp5,000 (RM1.50) seorang.

Jusman memberitahu, lokasi bagi melihat burung itu tidak hanya di sekitar Telaga Tambing tetapi di beberapa kawasan hutan seperti Desa Kadua’a, Kecamatan Lore Utara.

Bagaimanapun, destinasi yang menjadi pilihan dan paling disukai pelancong ialah di sekitar Telaga Tambing.

Menurut Jusman, pihaknya akan meneruskan pembangunan akses jalan raya yang lebih baik ke lokasi-lokasi tumpuan pelancong untuk melihat pelbagai spesies burung tersebut.

“Kami akan membuka beberapa akses jalan masuk ke lokasi pengamatan burung di sekitar lokasi utama pelancong,” katanya.

Di kawasan TNLL, terdapat sebanyak 265 jenis burung setakat ini dan 30 peratus daripadanya adalah jenis endemik yang hanya ada di kawasan tersebut.

Burung-buruk endemik itu menjadi daya tarikan utama kepada ramai pelancong asing terutamanya buat pencinta dan penyelidik burung.

Pelbagai jenis burung terdapat di TNLL termasuk kadalan Sulawesi, Srigunting jambul rambut, Malia Sulawesi, pelanduk Sulawesi wiwik uncuing, jalak alis api, taktarau iblis, sikatan matari, sikatan bakau Sulawesi dan kipasan Sulawesi.