Tergolong dalam lima koperasi terbaik ialah Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad, Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad, Koperasi Co-opbank Pertama Malaysia Berhad, Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Berhad dan Koperasi Peserta-Peserta Felcra Malaysia Berhad.

Kesemua koperasi itu dimuatkan dalam Profil 100 Koperasi Terbaik Malaysia 2018, naskhah yang diterbitkan SKM pada setiap tahun sejak 2008 dengan mengandungi profil dan maklumat koperasi-koperasi terbaik yang berjaya sepanjang tahun.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Dr. Mohd. Hatta Md. Ramli berkata, pada tahun ini sebanyak 43 koperasi baharu disenaraikan sebagai 100 Koperasi Terbaik Malaysia.

Jelasnya lagi, metodologi penilaian bukan sahaja berdasarkan prestasi kewangan tetapi meliputi faktor lain seperti sumbangan kepada anggota dan tadbir urus koperasi.

Justeru, pihaknya menggesa koperasi-koperasi di negara ini agar dapat menyumbang kepada 42 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Sasaran

“Kita sasarkan peningkatan daripada 37 peratus KDNK negara pada masa kini kepada 42 peratus” katanya pada majlis pelancaran naskhah tersebut di Hotel Flamingo, Ampang, Selangor baru-baru ini.

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan, Wan Suraya Wan Mohd. Radzi dan Naib Pengerusi Eksekutif (Operasi dan Kawal Selia) SKM, Meriam Mohd. Nor.

Tambah Hatta, sehingga kini terdapat kira-kira 4,000 ahli koperasi yang tidak aktif dan kerajaan dalam rangka kerja untuk memastikan kesemua ahli koperasi di negara ini dapat menyumbang kepada peningkatan KDNK negara.

Jelasnya, sekiranya mahu melihat koperasi-koperasi di negara ini menyumbang lebih kepada KDNK negara, maka kerajaan perlu menyalurkan lebih peruntukan bagi memastikan sasaran peningkatan 42 peratus pendapatan negara tercapai.