Kadar kehamilan remaja di negara berkenaan adalah antara yang tertinggi di dunia dan menjadi faktor pemacu peningkatan penduduk di negara Afrika Selatan.

Selepas berlakunya peperangan pada tahun 1992, bekas tanah jajahan Portugis itu menyaksikan penduduknya meningkat sehingga 40 peratus dalam tempoh dua dekad sehingga tahun 2017.

“Ibu bapa benar-benar mahu saya berkahwin,” kata Julia Afonso, salah seorang gadis yang baru saja melahirkan seorang bayi di Murrupelane.

Dengan nada perlahan, dia berkata keluarganya menerima 21 euro (RM100) sebagai mas kahwin.

Sekitar separuh wanita Mozambique iaitu kira-kira 48.2 peratus berkahwin sebelum mereka mencapai umur 18 tahun menurut agensi Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Tidak ke sekolah

Kira-kira 46.4 peratus remaja perempuan yang berumur antara 15 hingga 19 tahun didapati hamil dan menjadi ibu pada usia yang begitu muda.

“Perkahwinan awal ini telah memusnahkan masyarakat,” kata ketua kampung Murrupelane, Wazir Abacar.

“Ibu bapa yang terlalu muda tidak dapat menyediakan nafkah makan minum kepada anak-anak mereka dan terpaksa meninggalkan sekolah. Hal ini menyebabkan 58 peratus daripada mereka buta huruf,” katanya lagi.

Ema Nelmane yang berusia 13 tahun memberikan persetujuan kepada seorang lelaki yang ditemuinya di sebuah pasar raya untuk mendapatkan keperawanannya.

Lelaki tersebut menawarkan sebanyak tiga euro (RM14) untuk dia mendapatkan kasut seperti rakan-rakannya yang lain.

Bagaimanapun, apabila dia disahkan mengandung, Ema amat terperanjat.

“Saya tidak tahu seseorang itu boleh hamil hanya dengan bercinta,” katanya sambil menyusukan Ismail yang berusia tujuh bulan di halaman luar rumah neneknya.

“Saya tidak boleh keluar dan bermain dengan rakan-rakan lagi,” katanya.

Pakar demografi, Carlos Arnaldo menjelaskan seperti di negara-negara membangun yang lain, remaja di Mozambique hamil disebabkan tiadanya pendidikan.

“Ibu bapa melihat apabila melahirkan anak, ia memberi jaminan bahawa mereka akan dijaga apabila tua kelak,” ujarnya.

Sehingga baru-baru ini, kerajaan Mozambique telah melakukan sedikit penambahbaikan untuk menangani masalah demografi namun masalah kos menyebabkan usaha itu terbantut.

“Kerajaan mengalami kekangan untuk membina hospital dan sekolah. Walaupun perbelanjaan ditanggung kerajaan tetapi penduduk tidak mempunyai akses terhadapnya,” kata Pascoa Wate yang merupakan Pengerusi Ibu dan Anak di Kementerian Kesihatan.

Dalam usaha membendung peningkatan penduduk, kerajaan Mozambique bertindak mengubah undang-undang kebenaran perkahwinan minimum adalah pada usia 18 tahun dengan persetujuan ibu bapa.

“Kami tahu bahawa amalan perkahwinan awal berakar pada nilai-nilai kebudayaan yang sangat mendalam dan norma sosial yang mengutamakan kesuburan,” kata Menteri Belia, Nyeleti Mondlane.

Medium TV

Dengan sokongan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Mozambique juga telah melancarkan kempen kesedaran kontraseptif sejak tahun 2016.

Hanya satu perempat wanita pada masa ini mempunyai akses kepada kontraseptif menurut tinjauan kesihatan nasional.

Seorang pejuang seksualiti, Gilberto Macuacua Harilal menyatakan, pertumbuhan penduduk amat bergantung kepada tahap pendidikan lelaki yang akan menentukan seksualiti perempuan.

Macuacua menggunakan medium rancangan televisyen mingguannya Man To Man untuk mengkritik gereja-gereja yang membela perkahwinan di bawah 18 tahun serta upacara tradisional yang lazim dilakukan di Mozambique.

“Upacara berkenaan telah memberi pendedahan awal kepada kanak-kanak lelaki yang berumur antara lapan hingga 12 tahun mengenai persetubuhan,” katanya.

Ketua Kampung di Rapale Utara, Jaoa Carlos Singano berkata, selama setahun pihaknya cuba meyakinkan pegawai yang melaksanakan upacara berkenaan supaya berhati-hati ketika mengeluarkan arahan.

Bagaimanapun, keperluan untuk melakukan perubahan terhadap upacara berkenaan terlalu mendesak. Populasi dijangka bertambah dua kali ganda dalam tempoh 25 tahun akan datang. – AFP