Teguran mengenai perbalahan ilmuwan itu dilontarkan oleh seorang peserta Dialog Perdana TN50 Perspektif Islam yang berlangsung di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia, Muhammad Syukri Alimar Shidi, ketika membangkitkan perkara itu turut merujuk kepada peringatan ulama terkemuka Syeikh Yusof Al-Qardawi bahawa: "Kita (umat Islam) selalu sangat bergaduh dalam bidaah agama, jarang sekali kita bergaduh dalam bidaah teknologi."

Dialog itu diadakan antara perwakilan generasi belia Islam dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Majlis dipengerusikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Tanpa membayangkan siapakah para ilmuwan yang selalu berbalah itu, Muhammad Syukri menyebut nama Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri sebagai contoh ilmuwan yang berjaya mengangkat martabat institusi agama melalui fatwa-fatwanya yang merungkai khilaf agama.

Maulana sangat bersetuju dengan pandangan ini. Zulkifli mengulas isu-isu semasa agama dalam tulisan di bawah siri Bayan Linnas yang dimuatkan dalam laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (www.muftiwp.gov.my).

Elak kontroversi

Sejak memegang jawatan mufti pada 23 Jun 2014, Zulkifli telah memuatkan 85 ulasan di bawah siri Bayan Linnas.

Pelbagai isu semasa dikupas. Terbaharu ialah Penjelasan Tentang Valet Doa, Ke Mana Arah Tuju Hari Kekasih dan Air: Nikmat Yang Perlu Diurus.

Di samping menulis, beliau juga masih muncul dalam program TV dan aktif memberikan ceramah di merata masjid dan surau di Wilayah Persekutuan.

Meneliti tulisan dan ceramahnya yang sarat dengan ilmu, Zulkifli juga jelas mengelakkan kontroversi dengan berkecuali dalam hal politik serta tidak mengaibkan orang lain.

Dia juga sangat berhemah dalam tutur katanya dan tidak cuba tampil ala penglipur lara dengan lawak jenaka serta nyanyian untuk memikat khalayak pendengar.

Pendek kata jika anda mahu berhibur, anda tidak akan tertarik dengan ceramahnya. Jika anda mahukan ilmu agama, beliau adalah gedungnya.

Umum sebenarnya amat mengenali ilmuwan yang selalu berbalah. Ingin ditanya apakah mereka mahu menunjuk-menunjuk kehebatan ilmu sehingga tidak menyedari diri memiliki sifat takbur?

Apakah kebenaran mesti ditegakkan dengan cara mengaibkan orang lain? Jika teguran boleh dibuat secara sulit dan peribadi, janganlah 'serang' orang lain secara terbuka melalui media sosial dan sebagainya.

Jika orang politik suka mengaibkan musuh politik mereka, tidaklah menghairankan.

Ilmuwan agama tidak boleh begitu kerana mereka sepatutnya lebih memahami dan mentaati isi kandungan al-Quran.

"Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada malaikat: Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam. Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir."

Al-Baqarah:34



SEORANG penceramah luar negara yang dijemput berkongsi ilmu pada dialog berkenaan.

Takbur

Iblis takbur kerana berasa dirinya lebih mulia kerana dijadikan daripada zat api, sedangkan Adam dijadikan daripada zat tanah. Disebabkan keangkuhannya, iblis terlupa bahawa dia tidak mentaati perintah Allah.

Dan lupakah para ilmuwan yang berasa diri mereka hebat itu tentang kisah Nabi Musa yang Allah perintahkan supaya berguru dengan Nabi Khidir yang mempunyai ilmu yang tidak dimilikinya?

Segalanya berpunca daripada pengakuan Nabi Musa bahawa dialah orang paling berilmu pada zamannya.

Maka ilmuwan yang berasa dirinya cukup hebat hendaklah insaf bahawa apa yang dimilikinya adalah kurniaan daripada Pemilik Segala Ilmu.

Dan Dia telah memberikan peringatan dalam Surah Fatir 35:28.

"Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hambanya hanyalah ulama."

Janganlah jadi seperti para orientalis yang berilmu, tetapi tidak beriman.