Ini disebabkan bulan tersebut kebiasaannya terkena pada hari kemasukan pelajar-pelajar lepasan berkenaan ke institusi pengajian tinggi di negara ini.

Walaupun terdapat hampir 145 buah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di Malaysia, majoriti daripada pelajar di negara ini masih lagi memilih untuk melanjutkan pengajian mereka di 20 buah institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Selain daripada kualiti dan kemudahan infrastruktur yang baik, universiti awam di negara kita juga mengenakan kos pengajian yang rendah dibandingkan dengan IPTS.

Setelah 61 tahun negara mencapai kemerdekaan, IPTA di negara ini telah berjaya melahirkan pelbagai kumpulan graduan yang membantu mencorakkan landskap ekonomi, sosial, politik dan spiritual di negara ini.

Isu kebolehpasaran graduan ketika itu tidak timbul sama sekali. Ini adalah disebabkan hampir setiap graduan yang keluar daripada mana-mana universiti akan ditawarkan pekerjaan sebaik sahaja tamat pengajian mereka.

Walau bagaimanapun keadaan sudah berubah dengan kehadiran teknologi canggih pada hari ini, ditambah pula dengan jumlah graduan yang berlipat ganda menyebabkan isu kebolehpasaran graduan menjadi topik perbincangan yang hangat dibahaskan oleh pelbagai lapisan masyarakat.

Pelbagai persoalan dan inisiatif diutarakan untuk menyelesaikan masalah ini. Ada pihak yang menyalahkan industri, kerajaan dan tidak kurang juga yang menyalahkan universiti kerana gagal untuk membantu graduan mendapatkan pekerjaan.

Ilmu secukupnya

Justeru, adalah amat signifikan untuk setiap ahli masyarakat memahami fungsi dan peranan setiap universiti yang ada pada hari ini.

Pertama adalah tugas utama setiap universiti adalah untuk memberikan ilmu pengetahuan yang secukupnya kepada setiap pelajar mereka dalam bidang pilihan masing-masing.

Contohnya, pelajar yang mengikuti bidang kejuruteraan akan dibekalkan dengan ilmu yang secukupnya untuk membolehkan mereka menjadi seorang jurutera apabila tamat pengajian kelak.

Pelbagai kaedah pengajaran dan pembelajaran digunakan oleh universiti untuk memastikan pelajar mereka mendapat ilmu pengetahuan yang secukupnya dalam bidang-bidang tersebut.

Di antara kaedah yang sering digunakan ialah masalah utama pembelajaran (PBL), projek secara berkumpulan, lawatan tapak dan ujian makmal.

Semua kaedah ini mampu untuk membantu setiap pelajar di universiti yang terlibat mendapat ilmu yang secukupnya dalam bidang masing-masing selama tiga atau empat tahun pengajian mereka.

Selain itu, universiti juga berperanan membekalkan pelajar mereka dengan pelbagai kemahiran yang diperlukan oleh majikan pada hari ini atau akan datang.

Antara kemahiran yang amat diperlukan oleh majikan pada masa kini adalah menguasai pelbagai bahasa terutamanya bahasa Inggeris.

Selain itu, majikan juga memerlukan graduan yang mempunyai kemahiran kepimpinan, menyelesaikan masalah, kerja berkumpulan dan mempunyai nilai dan etika kerja cemerlang.

Untuk membantu pelajar mempunyai kemahiran tersebut, universiti telah mengadakan pelbagai inisiatif seperti aktiviti kokurikulum, badan beruniform dan kerja-kerja kesukarelawan.

Bukan itu sahaja, malah pihak kolej kediaman, fakulti dan universiti juga sering menganjurkan pelbagai aktiviti berkala seperti sambutan hari kemerdekaan, konvokesyen dan bazar Ramadan.

Aktiviti seperti ini sekaligus dapat membantu pelajar meningkatkan kemampuan mereka dalam kemahiran-kemahiran terbabit.

Malangnya, masih ramai lagi dalam kalangan pelajar yang tidak mengambil kisah untuk melibatkan diri mereka dengan aktiviti sebegini kerana beranggapan aktiviti sebegini hanyalah membuang masa.

Kemudian, universiti juga berperanan untuk memastikan setiap pelajar mereka mempunyai ciri keperibadian yang baik agar mereka mampu menjadi ikutan yang baik pada kemudian hari.

Di antara nilai keperibadian yang sering diterapkan oleh universiti kepada pelajar mereka ialah nilai integriti, bertanggungjawab dan kejujuran.

Nilai dan keperibadian seperti ini bukan sahaja mampu melahirkan masyarakat yang aman dan sejahtera, tetapi ia juga mampu membentuk sebuah masyarakat dan negara yang menjadi ikutan dunia.

Kesimpulannya, fungsi dan peranan utama universiti bukanlah semata-mata untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada setiap graduan.

Tetapi tugas dan fungsi utama adalah memastikan setiap graduan mereka mempunyai ilmu pengetahuan yang secukupnya dalam bidang pengajian masing-masing di samping memiliki pelbagai kemahiran yang diperlukan oleh majikan masa kini.