Mereka adalah daripada kaum, negeri yang maju dan kaya pada zaman mereka.

Allah menyebut dalam al-Quran bahawa Firaun adalah contoh manusia paling sombong kerana kuasa dan kekuatan yang dimilikinya menyebabkan dia mengaku dirinya tuhan.

Dan Firaun pula berkata: "Wahai orang-orangku, aku tidak mengetahui ada bagi kamu sebarang tuhan yang lain daripadaku; oleh itu, wahai Haman, bakarkanlah untukku batu-bata, serta binalah untukku bangunan yang tinggi, supaya aku naik melihat Tuhan Musa (yang dikatakannya itu); dan sesungguhnya aku percaya adalah Musa dari orang-orang yang berdusta". -Surah al-Qasas:38

"Dan berlaku sombong takburlah Firaun dan tenteranya di negeri itu dengan tiada alasan yang benar, dan mereka menyangka bahawa mereka tidak akan dikembalikan kepada Kami."- Surah Al-Qasas:39

Bertaubat

Namun Allah yang Maha Pengampun masih memberi peluang kepada Firaun dengan mengutus Nabi Musa untuk menyampaikan seruan supaya dia bertaubat.

Akhirnya Firaun bukan sahaja enggan bertaubat dan beriman, malah berusaha untuk membunuh Nabi Musa dan para pengikutmya.

Lalu Allah menenggelamkan Firaun dan bala tenteranya ke dalam laut ketika mereka sedang mengejar Nabi Musa.

Pada surah yang sama Allah juga menceritakan tentang Qarun, orang yang paling kaya pada zaman Nabi Musa.

Sesungguhnya Qarun adalah daripada kaum Nabi Musa, kemudian ia berlaku sombong dan zalim terhadap mereka; dan Kami telah mengurniakannya pelbagai jenis kekayaan yang anak-anak kuncinya menjadi beban yang sungguh berat untuk dipikul oleh sebilangan orang yang kuat sasa. (Ia berlaku sombong) ketika kaumnya berkata kepadanya: "Janganlah engkau bermegah-megah (dengan kekayaanmu), sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang bermegah-megah. (seperti lagakmu itu). -Surah al-Qasas:76

Apabila dia diminta menggunakan kekayaannya untuk membantu orang-orang lain, Qarun dengan sombong enggan.

Qarun menjawab: "Aku diberikan harta kekayaan ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku". (Kalaulah Qarun bijak pandai) tidakkah ia mengetahui dan pandai memahami, bahawa Allah telah membinasakan sebelumnya, daripada umat-umat yang telah lalu, orang-orang yang lebih kuat daripadanya dan lebih banyak mengumpulkan harta kekayaan ? Dan (ingatlah) orang-orang yang berdosa (apabila mereka diseksa) tidak lagi ditanya tentang dosa-dosa mereka, (kerana Allah sedia mengetahuinya). Surah al-Qasas:78

Akibat kesombongan, Qarun dan harta bendanya lenyap ditelan bumi.

"Lalu Kami timbuskan dia bersama-sama dengan rumahnya di dalam tanah, maka tidaklah ia mendapat sebarang golongan yang boleh menolongnya dari azab Allah dan ia pula tidak dapat menolong dirinya sendiri." - Surah al-Qasas:81

Kisah dua manusia sombong yang berlaku beribu-ribu tahun dahulu itu diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW supaya menjadi pengajaran kepada manusia akhir zaman.

Namun sifat sombong masih berleluasa kerana tidak ramai manusia akhir zaman ini yang beriman walaupun jumlah populasi sentiasa bertambah.



Banjir yang berlaku di Pulau Pinang disifatkan paling buruk dalam sejarah negeri tersebut.

Musnah

Jika tidak kerana Allah memakbulkan doa Nabi Muhammad supaya umat baginda tidak ditimpa bencana dahsyat seperti umat-umat dahulu, barangkali banyak negara akhir zaman yang turut musnah sebelum datangnya kiamat.

Namun bencana tetap berlaku sebagai peringatan kepada manusia supaya mereka menyembah dan mentaati Allah.

Hanya pada beberapa hari lalu banjir dan ribut melanda Pulau Pinang. Kira-kira 80 peratus kawasan pulau digenangi air dalam bencana tidak diduga yang disifatkan paling buruk dalam sejarah negeri itu.

Tiada siapa menduga Pulau Pinang boleh ditimpa bencana seteruk itu kerana ia tidak termasuk dalam senarai negeri yang mudah banjir.

Apakah puncanya? Pelbagai andaian dan kupasan telah disebarkan melalui media sosial.

Tetapi kebanyakan andaian menjurus kepada pertanyaan, adakah ia disebabkan kesombongan seorang pemimpin yang suka mencerca negeri-negeri lain dan berasa negeri pimpinannya terbaik? Mudah-mudahan pemimpin itu insaf dan membetulkan kesilapannya demi kesejahteraan rakyatnya.