Setiap anak perlulah menghormati ibu bapa masing-masing agar kehidupan mereka mendapat keberkatan dan keredaan daripada Yang Maha Esa.

Walaupun ramai dalam kalangan anak-anak yang menyedari peranan dan fungsi ibu bapa terhadap kecemerlangan masa depan dan kehidupan mereka, masih terdapat sebilangan besar yang tidak bertanggungjawab kepada ibu bapa masing-masing.

Senario anak-anak yang tidak mengambil berat terhadap kebajikan ibu bapa sering kali dipaparkan oleh media massa di negara ini. Ada ibu bapa yang ditinggalkan bersendirian di rumah tanpa makan dan minum yang cukup.

Ada juga yang dibiarkan menderita akibat penyakit yang dihadapi tanpa mendapat bantuan perubatan daripada anak-anak mereka. Lebih menyedihkan,ada anak-anak yang sanggup membuang ibu bapa dengan pelbagai alasan. Senario yang sebegini tidak wajar berlaku terutamanya dalam sebuah masyarakat timur seperti Malaysia.

Kisah anak-anak yang tidak bertanggungjawab terhadap kebajikan ibu bapa sepertimana yang berlaku dalam masyarakat pada hari ini mungkin disebabkan ramai yang tidak mengetahui kehebatan dan keajaiban ibu bapa terhadap kejayaan mereka.

Ramai yang mungkin terlupa bahawa ibu bapa mempunyai kuasa luar biasa yang mampu mengubah corak kehidupan anak-anak mereka dengan doa dan harapan yang dipanjatkan kepada yang Maha Esa.

Terlalu banyak kisah sejarah yang telah membuktikan keajaiban tersebut. Oleh yang demikian adalah amat penting kepada anak-anak untuk memahami kehebatan dan keajaiban ibu bapa terhadap kecemerlangan dan kemajuan kehidupan mereka sebagai seorang anak.

Kunci rezeki

Ibu bapa merupakan insan yang memegang kunci rezeki anak-anak. Oleh yang demikian untuk membolehkan kunci tersebut dapat dimiliki, anak-anak perlulah mendapatkannya daripada ibu bapa masing-masing.

Namun, untuk mendapatkan kunci tersebut bukan sama sepertimana kita mendapatkan kunci rumah atau kereta. Ia hanya mampu diperoleh sekiranya ibu bapa kita berasa gembira dan reda dengan tindakan dan tingkah laku kita sebagai seorang anak. Ia merangkumi cara kita melayan mereka sebagai ibu bapa ataupun tindakan kita dengan orang lain yang memberi impak positif atau sebaliknya kepada mereka.

Ibu bapa yang gembira dan selesa dengan tindakan anak-anak mereka akan menghasilkan kesan yang positif kepada kehidupan anak-anak tersebut sama ada yang mampu dilihat dengan mata kasar atau sebaliknya.

Ini adalah disebabkan keredaan Allah hanya akan datang dalam kehidupan anak-anak selepas datangnya keredaan ibu bapa.

Disebabkan itu, setiap anak perlu memastikan ibu bapa mereka sentiasa gembira dan ceria agar kunci rezeki tersebut mampu menjadi milik mereka.

Keberkatan hidup

Keberkatan hidup seorang anak tidak akan muncul dalam kehidupan mereka tanpa adanya keredaan daripada ibu bapa.

Setiap anak perlu memastikan ibu bapa mereka sentiasa memberikan keredaan terhadap apa yang dilakukan sama ada yang berbentuk fizikal atau sebaliknya.

Perkara ini teramat penting kerana tanpa keberkatan, kehidupan seseorang itu mungkin tidak membawa sebarang makna.

Anak-anak perlu memastikan kebajikan ibu bapa dijaga dengan baik agar keberkatan tersebut menghujani kehidupan mereka sepanjang masa. Bagi membolehkan perkara sedemikian boleh berlaku, anak-anak perlulah menghormati dan mentaati segala arahan dan suruhan ibu bapa.

Kehebatan dan keajaiban ibu bapa kepada kejayaan, kemakmuran dan kemajuan anak-anak memang tidak dapat dipertikaikan lagi.

Terlalu banyak bukti dan kisah teladan yang berlaku dalam masyarakat untuk menyokong kenyataan ini.