Antara bentuk petunjuk itu ialah Allah SWT membawanya dalam bentuk kisah-kisah masa lampau.

Kisah-kisah al-Quran ialah kisah benar namun ia bukan sekadar terhenti pada aspek kebenaran kisah tersebut.

Jika diteliti dengan mendalam, ibrah (pengajaran) daripada sesuatu kisah itulah petunjuk kepada orang beriman.

Demikian petikan daripada buku Di bawah Teduhan Kisah-Kisah al-Quran hasil karya Muhamad Syaari Ab. Rahman, 36.

Menurut anak kelahiran Tumpat, Kelantan itu, tajuk buku berkenaan telah menceritakan matlamat penulisannya iaitu mengambil ibrah daripada kisah-kisah yang diceritakan dalam al-Quran.

Analogi

Beliau mendapat ilham untuk menulis buku berkenaan selepas banyak membaca tentang kisah-kisah yang diambil daripada al-Quran. Misalnya, kisah Firaun, kisah-kisah nabi dan rasul serta kisah bukan nabi.

“Saya dapati kebanyakan penulisan tentang cerita dalam al-Quran yang ditulis oleh ramai ulama sama ada dalam bahasa Melayu, Inggeris atau Arab hanya memaparkan informasi, fakta dan gambaran situasi namun tidak ramai penulis membawa kaitan cerita tersebut dengan kehidupan kita hari ini.

“Jadi saya bawa dalam bentuk analogi sebatang pokok yang boleh menjadi tempat berteduh dan berehat agar pembaca dapat merasa kedamaian jiwa semasa membaca al-Quran,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Tambah beliau, informasi dan fakta tentang kisah-kisah yang diceritakan dalam kitab suci itu pada masa lampau hanya mengisi intelektual tetapi tidak dapat menyelesaikan konflik jiwa manusia.

Justeru menerusi huraian petikan beberapa surah dan ayat terpilih dalam buku tersebut, Muhamad Syaari berharap pembaca dapat mengambil pengajaran yang sesuai dalam kehidupan hari ini.

“Melalui buku ini, saya berusaha sedaya upaya untuk membongkar sisi-sisi indah bahasa al-Quran agar pembaca dapat mengambil iktibar daripada setiap kisahnya,” jelas beliau.

Mengulas lanjut, beliau berkata, al-Quran bukan buku sejarah. Kisah dalam al-Quran segar dan bukan cerita lapuk membabitkan individu-individu yang telah meninggal dunia.

Siri

Graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Kemanusiaan (Bahasa dan Kesusasteraan Arab) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu hanya memilih beberapa surah dan ayat-ayat tertentu sahaja kerana merancang untuk menghasilkan siri berikutnya bagi melengkapkan semua kisah yang diceritakan dalam surah al-Baqarah sehingga surah terakhir.

Gambar-gambar beliau bersama keluarga berkunjung ke beberapa lokasi yang ada kaitan dengan kisah dalam al-Quran turut diselitkan dalam buku tersebut agar buku berkenaan menjadi bahan bacaan santai seperti travelog walaupun perbincangannya agak berat.

Penulisan buku oleh panel tetap selama empat tahun sejak 2012 hingga 2016 bagi segmen Ibrah terbitan Radio Institut kefahaman Islam Malaysia, IKIM.fm itu adalah bahan seminar dan kuliah yang dikendalikan beliau sejak tiga tahun lalu. Sebahagian besarnya ditulis sejak enam bulan lalu.

Buku Di bawah Teduhan Kisah-Kisah al-Quran yang baharu diterbitkan pada Mac lalu adalah karyanya yang keempat selepas menghasilkan buku Kuasa Kepimpinan Al-Fateh dan Berfikir Gaya al-Fateh terbitan PTS Milennia serta Kompas 114 terbitan syarikat beliau sendiri iaitu Paradigma Ibrah Sdn. Bhd.