Hotel bertaraf lima bintang dengan 438 bilik tetamu yang beroperasi di Petaling Jaya, Selangor itu meraih dua pengiktirafan bertaraf dunia iaitu Hotel Konvensyen Terbaik dan Hotel Mewah Terbaik Malaysia pada majlis tersebut.

Pengurus Perhubungan Awam Hotel One World, Feryal Mufti menyifatkan, anugerah itu sebagai penghargaan di atas kerja keras pasukannya dalam menyediakan kemudahan terbaik kepada pengunjung dari dalam dan luar negara.

“Kerjasama antara pekerja dan pentadbiran hotel adalah kunci kepada kejayaan yang penuh bermakna ini.

“Walaupun tidak berjaya ke Anugerah Hotel Antarabangsa, kami cukup berbangga kerana hotel dengan fasiliti kelas pertama ini diiktiraf dunia sebagai yang terbaik di Malaysia, sebuah negara pelancongan,” katanya ketika mewakili Hotel One World untuk menerima anugerah itu.

Pada majlis anugerah itu, sebanyak 17 kategori di peringkat negara dipertandingkan dan lebih 100 hotel dari Asia Pasifik mengambil bahagian.

Pemenang bagi kategori yang mencatatkan markah melepasi standard pertandingan akan mewakili Asia Pasifik untuk merebut gelaran terbaik dunia pada Anugerah Hotel Antarabangsa di Savoy Hotel, London, England menjelang 3 Disember depan.

Sementara itu, Presiden dan Pengasas Anugerah Hotel Antarabangsa, Stuart Shield berkata, pihaknya melihat peningkatan perkhidmatan hotel yang begitu memberangsangkan hasil daripada pertandingan tersebut.

“Lapan tahun selepas anugerah ini diwujudkan, ia berjaya menggalakkan pihak pengurusan hotel untuk sentiasa berusaha memperbaiki persembahan dalam pelbagai aspek termasuk khidmat pelanggan dan fasiliti.

“Buktinya, berbanding pada tahun-tahun terdahulu, tidak banyak hotel yang mengambil bahagian. 

“Namun kini, persaingan cukup sengit dan lebih 50 hotel mengambil bahagian bagi setiap kategori yang dipertandingkan,” ujarnya.