Anak syarikat Hokuto Corporation itu telah membuka ladang dan membina kilangnya di Bandar Enstek, Negeri Sembilan pada tahun 2015 dengan matlamat menjadikannya sebagai hab untuk mengeksport cendawan Brown Beech dan White Beech di bawah jenama Hokto.

Pembukaan ladang tanaman tersebut di Malaysia telah mengukuhkan kehadiran jenama Hokto di negara ini.

Sejak penubuhannya dua tahun lepas, Hokto Malaysia telah mengeksport sebanyak 1,150 tan cendawan Brown Beech dan White Beech ke Singapura, Thailand, Vietnam dan Indonesia.

Tanaman cendawan dijalankan secara automatik dari segi penjagaan di fasiliti bernilai hampir RM80 juta.

Kapasiti pengeluarannya boleh mencecah sehingga 1,000 tan setiap tahun.

Menurut Pengarah Urusan Hokto Malaysia, Tadao Yamamoto, pembukaan tapak tanaman di Malaysia merupakan pelan strategi kerana negara ini mempunyai infrastruktur yang diperlukan.

“Kami mendapati terdapat pasaran besar bagi cendawan Jepun di negara ini.

“Teksturnya yang kenyal dan boleh menyerap segala perisa membuatkan cendawan ini sangat sesuai dengan cita rasa tempatan,” katanya ketika berucap pada majlis Sambutan Ulang Tahun Ketiga Hokto di pusat beli-belah Sunway Velocity, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Hokto Malaysia juga merupakan satu-satunya syarikat yang mengimport dan membekal cendawan Maitake di negara ini.

Terbaharu, tiga tan cendawan Maitake diimport dari Jepun secara bulanan.

Terkenal dengan rasa kayu, bertekstur rangup dan aroma yang hebat, cendawan Maitake sesuai untuk apa jua hidangan dan cara masakan.

Pencapaian

Antara pencapaian hebat Hokto Malaysia sepanjang dua tahun ini ialah menembusi pasaran berbeza di rantau ini dan berjaya membangunkan resipi yang sihat.

Selain itu, Hokto cukup dikenali dengan pelbagai rangkaian cendawan antaranya Bunashimeji dan Bunapi.

Melangkah ke tahun 2018, Hokto Malaysia berhasrat untuk mencapai 100 peratus kapasiti penghasilan.

Ini membolehkan Hokto untuk memperkenalkan jenamanya kepada segmen pasaran berpotensi terutamanya pasaran orang Melayu.

“Kami menawarkan kualiti produk yang terbaik dengan menggunakan 100 peratus bahan semula jadi untuk pertumbuhan dan percambahan cendawan dengan pembangunan teknologi dari Hokuto, Jepun.

“Semoga rakyat Malaysia dapat menikmati keenakan, kebaikan cendawan dan panjang umur seperti orang Jepun,” tuturnya.

Sementara itu, sempena ulang tahun yang ketiga, Hokto Malaysia telah menganjurkan peraduan yang dikenali sebagai Konnichi-WAHHH Japan yang berlangsung pada September hingga Oktober tahun lalu.

Hadiah utama peraduan itu dimenangi oleh Lim Hsien Leong, sekali gus memenangi percutian ke Jepun untuk seorang selama empat hari tiga malam.

Untuk maklumat lanjut tentang Hokto Malaysia, layari www.hokto-kinoko.com.my atau www.facebook.com/HoktoKinokoMalaysia.